KERAJAAN  perlu mendapatkan pandangan dan kerjasama daripada persatuan peniaga setiap sektor untuk memulihkan ekonomi  kerana ia  harus praktikal dan bukan hanya secara ilmiah.
KERAJAAN perlu mendapatkan pandangan dan kerjasama daripada persatuan peniaga setiap sektor untuk memulihkan ekonomi  kerana ia harus praktikal dan bukan hanya secara ilmiah.
Sri Ayu Kartika Amri

MALAYSIA perlu merangka strategi jangka pendek dan sederhana bagi mencari keseimbangan terbaik untuk menjana kembali ekonomi dengan pemulihan kesihatan negara.

 Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata,  strategi jangka pendek adalah untuk mencari keseimbangan terbaik bagi menjana kembali ekonomi dengan pemulihan kesihatan negara, misalnya peratusan vaksinasi yang dicapai terutama sektor ekonomi yang sangat terjejas oleh pandemik Covid-19.

 Katanya, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan dan kerjasama daripada persatuan peniaga setiap sektor untuk memulihkan ekonomi  kerana ia harus praktikal dan bukan hanya secara ilmiah.

  "Penting mendapatkan buy-in dan komitmen semua persatuan peniaga untuk bersama dengan kerajaan bagi memulihkan setiap sektor.

 "Jadi strategi ini bukan hanya daripada pihak kerajaan yang mengeluarkan pelaburan malah daripada pihak swasta turut bersama memajukan ekonomi.

 "Ini bersesuaian objektif kedua ucaptama Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggalakkan pihak swasta turut melabur," katanya.

 Menurutnya, selain itu, pelan pemulihan yang bersifat jangka sederhana dan jangka panjang amat diperlukan kerana pandemik ini membebankan negara hampir dua tahun.

 Beliau berkata, antaranya ialah melancarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan lebih cepat untuk memberikan arah tuju pembangunan negara dari sekarang hingga 10 tahun lagi.

"Ia juga perlu disesuaikan dengan kesan pandemik serta mengharapkan pelan ekonomi digital yang lebih mantap lagi.

"Ini penting kerana menjadi penunjuk aras kepada pelabur asing, tempatan mahupun peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk disesuaikan hala tuju negara dengan pelan perniagaan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:00 AM