Proton X70 Edisi Khas.
Proton X70 Edisi Khas.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Proton memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 Edisi Khas yang terhad sebanyak 2,000 unit sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pengenalan model eksklusif ini adalah bagi mengukuhkan kedudukan dan tarikan terbaharu sebagai SUV segmen-C terlaris di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, model Proton X70 Edisi Khas ini menambah lagi pilihan kepada pembeli yang disasarkan untuk peringkat atasan.

"Walaupun unit terhad ia dijangka menarik minat pembeli kereta mewah yang ingin memiliki SUV pada harga berpatutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Proton X70 Edisi Khas ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insurans RM123,800 dan boleh ditempah secara dalam talian dari harga serendah RM99.

Edisi baharu ini juga ditawarkan dengan warna baharu iaitu Ocean Blue dan Ruby Red dan juga mempunyai atap, spoiler belakang dan cermin pintu yang diwarnakan hitam serta reka bentuk baru 'sport rim' 19 inci.

Sehingga 31 Disember 2021, tertakluk pada ketersediaan, ia akan dijual dengan insentif cukai jualan Pemerkasa Tambahan bernilai RM7,000.

Lambang SE eksklusif juga dipasang pada bahagian belakang sebagai sentuhan terakhir.

Bagi memadankan warna hitam pada bahagian luar, bahagian dalaman juga diserikan dengan kemasan hitam bersama perincian mewah yang menaikkan lagi suasana kabin.

Ini termasuk tempat duduk kulit Nappa hitam yang lembut, kemasan hiasan dalaman dan karpet khas SE yang baru.

Sama seperti Proton X70 yang lain, Proton X70 Edisi Khas dilengkapi Sistem Penulenan Udara Pintar Proton (P-IAPS) yang menggabungkan kebaikan Penapis Kabin N95 dan sistem pembersihan udara untuk menawarkan perlindungan terhadap pencemaran bawaan udara.

Ia juga dilengkapi senarai ciri keselamatan termasuk enam SRS bag udara dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang menambah lapisan keselamatan aktif bagi mengurangkan risiko kemalangan, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Kamera 360.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 1:59 PM