MOHD Nor yakin peningkatan aset dapat dicapai berbanding RM5.8 bilion tahun lalu.
MOHD Nor yakin peningkatan aset dapat dicapai berbanding RM5.8 bilion tahun lalu.
Sri Ayu Kartika Amri

CO-opbank Pertama (CBP) berada di landasan tepat meningkatkan jumlah asetnya kepada RM6.8 bilion tahun ini disokong peningkatan perniagaan pembiayaan peribadi, korporat dan koperasi.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata, pihaknya yakin jumlah aset itu dapat dicapai berbanding RM5.8 bilion yang direkodkan tahun lalu.

Katanya, segmen Ar-Rahnu dijangka menyumbang lima peratus kepada jumlah aset berikutan CBP dalam proses meningkatkan segmen itu sebagai produk terasnya.

"Bagi saya tahun 2020 ialah pencapaian terbaik CBP walaupun dihimpit kesan penularan Covid-19 dengan jumlah aset direkodkan RM5.8 bilion berbanding RM4.3 bilion pada 2019.

"Malah, dalam sejarah CBP, kita tidak pernah merekodkan peningkatan aset melebihi RM1 bilion kerana selalunya sekitar RM600 juta ke RM800 juta setahun.

"Sebanyak 90 peratus aset CBP pula datang daripada segmen pembiayaan peribadi dan selainnya korporat, koperasi dan Ar-Rahnu," katanya kepada Bisnes Metro.

Ditanya mengenai impak Covid-19 tahun ini terhadap operasi CBP, Mohd Nor berkata, jika melihat kepada nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang terjejas sekarang, ada indikator kepada sektor korporat dan koperasi.

Manakala segmen pembiayaan peribadi, beliau berkata, tidak banyak terjejas kerana moratorium masih berjalan.

"Kita hanya boleh lihat impak Covid-19 secara keseluruhannya selepas Julai ke atas atau sekurang-kurangnya separuh kedua tahun ini.

"Namun keseluruhan saya lihat impak akan lebih besar sebab kita tidak menjangkakan Covid-19 ini akan berlarutan, malah sekarang sudah mencapai gelombang keempat," katanya.

Setakat ini, CBP menawarkan pelbagai skim pembiayaan kepada anggotanya dengan kadar keuntungan kompetitif dan kelulusan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 7:00 AM