DI bawah program Subsidi Pengangkutan Awam MY30, sebanyak RM127.74 juta disalurkan bagi langganan 751,414 pas bulanan pengangkutan awam tanpa had disediakan khusus kepada warganegara Malaysia.
DI bawah program Subsidi Pengangkutan Awam MY30, sebanyak RM127.74 juta disalurkan bagi langganan 751,414 pas bulanan pengangkutan awam tanpa had disediakan khusus kepada warganegara Malaysia.

Kuala Lumpur: Kerajaan sudah meluluskan permohonan subsidi upah bernilai RM12.86 bilion di bawah Program Subsidi Upah 1.0 (PSU 1.0) setakat 23 April lalu yang memberi manfaat kepada 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi PSU 2.0, kerajaan meluluskan permohonan subsidi upah bernilai RM1.17 bilion setakat 23 April lalu yang memberi manfaat kepada 73,567 majikan dan mengekalkan penggajian 635,748 pekerja.

Di bawah program Subsidi Pengangkutan Awam MY30 pula, setakat 23 April lalu, katanya sebanyak RM127.74 juta disalurkan bagi langganan 751,414 pas bulanan pengangkutan awam tanpa had yang disediakan khusus untuk warga Malaysia.

"Seperti yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021, inisiatif ini dilanjutkan ke tahun ini bagi terus menggalakkan mobiliti dan mengurangkan beban kos pengangkutan awam untuk rakyat," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-52 yang dikeluarkan, semalam.

Bagi pembiayaan sektor pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), beliau berkata, setakat 23 April lalu, sebanyak 321 daripada 644 permohonan bagi pembiayaan ini diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM63.9 juta.

Bagi program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, Tengku Zafrul berkata, setakat 23 April lalu, seramai 132,403 pekerja berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

"Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 7:01 AM