LEBIH 150 negara di dunia mengalami penguncupan dan krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah masing-masing.
LEBIH 150 negara di dunia mengalami penguncupan dan krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah masing-masing.

Kuala Lumpur: Kadar pengangguran di Malaysia masih di bawah kawalan dan kerajaan sedang berusaha mencipta dan mengekalkan pekerjaan melalui pelbagai inisiatif yang dipantau rapi oleh Majlis Pekerjaan Negara (MPN).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ada pihak yang mempersoalkan mengenai pengangguran yang dikaitkan dengan penguncupan ekonomi dan usaha kerajaan di dalam menangani krisis kembar kesihatan awam dan ekonomi.

"Hakikatnya, pada tahun 2020, lebih 150 negara di dunia mengalami penguncupan dan krisis ekonomi yang paling teruk di dalam sejarah masing-masing.

"Kadar pengangguran di Malaysia masih di bawah kawalan dan kita berusaha mencipta dan mengekalkan pekerjaan melalui pelbagai inisiatif MPN.

"Insya-Allah dengan pelaksanaan yang kemas dan pemantauan rapi oleh Kementerian Kewangan, kita mampu mencapai data-data yang semakin baik bagi menyokong pencapaian KDNK 6.0 hingga 7.5 peratus tahun ini dan meletakkan Malaysia di landasan lebih baik bagi pertumbuhan ekonomi seterusnya," katanya dalam Laporan Laksana ke-50, semalam.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah sama ada usaha yang dilaburkan oleh kerajaan membuahkan hasil dalam keadaan yang amat mencabar ini.

"Data terkini (tahun ke tahun) menunjukkan trend yang memberangsangkan bagi bulan Januari 2021 iaitu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan bulan Februari 2021.

"Indeks pengeluaran perindustrian (IPI) mencatatkan pertumbuhan 1.2 peratus pada Januari 2021 dan meningkat kepada 1.5 peratus bulan berikutnya.

"Eksport pula merekodkan peningkatan 6.6 peratus pada Januari 2021 dan meningkat kepada 17.6 peratus pada Februari 2021.

"Manakala import meningkat 1.3 peratus pada Januari 2021 dan 12.7 peratus pada Februari 2021," katanya.

Sementara itu, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Setakat 9 April, permohonan subsidi upah yang diluluskan mencapai nilai RM12.872 bilion.

Bagi PSU 2.0 pula, setakat 9 April, sejumlah RM1.148 bilion disalurkan di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) kepada 73,210 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 631,801 pekerja.

Seramai 132,403 pekerja berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan berbanding 132,118 pada minggu sebelumnya dengan industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 7:02 AM