PROTON memulakan pengeluaran X70 di kilang Tanjung Malim. GAMBAR: IHSAN PROTON
PROTON memulakan pengeluaran X70 di kilang Tanjung Malim. GAMBAR: IHSAN PROTON
Sofyan Rizal Ishak


PROTON Holdings Bhd (PROTON) bakal membina kilang pemasangan tempatan (CKD) di Karachi, Pakistan melalui pelaburan awal sebanyak AS$30 juta (RM124.29 juta) dengan aktiviti pengeluaran dijadualkan bermula pada 2021.

Pembinaan bagi kilang yang terletak di tapak Greenfield, Karachi itu sedang giat dijalankan dengan fasiliti terbabit akan dimiliki dan dikendalikan oleh ALHAJ Automotive iaitu pengedar rasmi Proton di Pakistan.

Pengarah Pelaburan dan Promosi PROTON, Khalid Yusof berkata, kilang itu akan memasang beberapa model Proton dan ia mampu mencipta 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun operasinya serta anggaran lebih 20,000 peluang pekerjaan tidak langsung selepas ia siap dibina kelak.

Menurutnya, pembinaan kilang itu juga membantu syarikat dalam mencapai matlamat jangka panjang untuk menjual 400,000 unit kereta menjelang 2027.

“Kami harap pembinaan kilang CKD dengan kerjasama ALHAJ Automotive itu membolehkan kami mendapat kelebihan pengurangan cukai bagi kenderaan di Pakistan,” katanya dalam kenyataan pada majlis penyerahan rasmi Proton X70 kepada kerajaan Pakistan di Islamabad, baru-baru ini.

Penyerahan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton itu adalah rentetan lawatan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Pakistan ketika sambutan Hari Resolusi pada Mac lalu yang menyaksikan beliau menghadiahkan Proton X70 kepada Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

Mewakili Malaysia pada majlis itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim manakala, kerajaan Pakistan diwakili oleh Penasihat Perdana Menteri bagi Perdagangan, Tekstil, Industri, Pengeluaran dan Pelaburannya, Abdul Razak Dawood.

Sementara itu, Pengerusi ALHAJ Automotive, Alhaj Shah Jee Gul Afridi berkata, pihaknya akan memanfaatkan pengedar sedia ada di seluruh negara itu untuk mula menjual kereta-kereta Proton secepat mungkin sementara membangunkan cawangan jualan, servis, alat ganti dan ketuk serta cat (3S/4S) di negara itu.

“Kami akan menghantar unit model import sepenuhnya (CBU) dari Malaysia sebagai permulaan operasi di sini sebelum memasarkan unit CKD sebaik saja kilang itu mula beroperasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 4:29 PM