Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberi tumpuan kepada empat bidang fokus penyelidikan iaitu peningkatan prestasi hasil, pembangunan mampan, mekanisasi dan automasi serta keselamatan makanan dan nutrisi dalam usaha meningkatkan kecekapan dan produktiviti industri sawit.

Ketua Pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, walaupun pengeluaran minyak sawit meningkat, namun pencapaian purata pengeluaran hasil sawit adalah mendatar berbanding tanaman minyak sayuran lain.

"Sudah tiba masanya kita menggunakan inovasi terkini bioteknologi bagi biak baka dan baka klon sawit yang berupaya mengeluarkan hasil lebih tinggi dan berdaya tahan terhadap penyakit, kualiti minyak yang tinggi dan tahan terhadap perubahan iklim.

"'Kita juga perlu menerapkan amalan agronomi terbaik untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahmad Parveez berkata, Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) juga akan melihat secara terperinci mengenai projek penyelidikan dan isu strategik seperti pembangunan mampan dan mencari penyelesaian praktikal untuk mengurangkan jurang perbezaan antara industri dan pengkritik.

"Pelbagai isu mengenai penggunaan tanah, biodiversiti dan usaha-usaha pemuliharaan, penyahhutanan serta pencemaran air, udara dan tanah telah dibangkitkan," katanya.

Katanya, ia memberi kesan kepada pekebun kecil dengan peraturan yang lebih ketat mengenai kelestarian, Amalan Pertanian Baik yang akan menyukarkan mereka memenuhi kehendak industri dan menngurangkan daya saing dari sudut ekonomi.

"Kita harus mencari pendekatan yang seimbang bagi memenuhi syarat kelestarian untuk industri sawit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 7:08 PM