Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin.
BERNAMA

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) akan terus fokus dalam mendukung amanah dan mandatnya untuk meningkatkan keupayaan dan kekayaan ekonomi Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial di Malaysia.

Beliau berkata, PHB yang juga entiti operasi Yayasan Hartanah Bumiputera (YAHB) turut diyakini akan dapat terus memudahkan penyertaan Bumiputera dalam pelaburan hartanah menerusi pulangan yang stabil dan berdaya saing.

Muhyiddin yang merupakan Pengerusi YAHB mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YAHB secara dalam talian hari ini, mesyuarat kali pertama sejak beliau dilantik sebagai pengerusi pada 16 Oktober lalu.

"Dalam mesyuarat itu, saya dimaklumkan mengenai prestasi tahunan YAHB di mana objektif utama penubuhannya adalah bagi memacu tindakan afirmatif dalam agenda memperkasakan ekonomi dan merangsangkan pemilikan Bumiputera dalam hartanah komersial di Malaysia.

"Saya berpuas hati dengan prestasi Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang mencapai pulangan bersih selepas zakat sebanyak 5.0 peratus setahun pada tahun ini walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar.

"Semenjak dilancarkan pada akhir 2010, AHB telah mengagihkan dividen terkumpul sejumlah RM1.41 bilion kepada 75,000 pelabur runcit Bumiputera dan 14 institusi Bumiputera," katanya dalam hantaran di laman rasmi Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin juga berkata sejumlah RM31.4 juta telah diperuntukkan pada 2020 bagi melaksanakan 'Rents Relief Programme' (program bantuan sewa), bertujuan untuk membantu penyewa di bangunan PHB sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehingga kini PHB memiliki 23 buah bangunan di lokasi strategik, terdiri daripada bangunan pejabat, pusat beli-belah, gudang logistik dan hospital swasta bagi pihak pelabur bumiputera daripada semua lapisan masyarakat," jelasnya.

Mesyuarat itu yang diadakan bagi membincangkan mengenai prestasi keseluruhan AHB, mekanisme pengagihan kekayaan dan PHB turut disertai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi PHB Tan Sri Md Nor Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mahmud Fauzi Muda dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Mohd Fadzil Maruwan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 9:29 PM