ARANOLS
ARANOLS
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: Nestlé Malaysia memperkenalkan kopi semaian tempatan 100 peratus yang dikenali sebagai NESCAFÉ Classic Kopi Kedah yang mana ditawarkan di pasaran bermula awal bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Bhd, Juan Aranols berkata, NESCAFÉ Classic Kopi Kedah! diilhamkan menerusi program NESCAFÉ Grown Respectfully (NESCAFÉ Disemai dengan kasih), inisiatif perladangan kopi mampan yang dilancarkan tahun lalu di Kedah.

"NESCAFÉ Classic Kopi Kedah edisi terhad boleh didapati dalam tin aluminium isian 170 gram dan dijual pada harga runcit RM23.02 di pasar raya dan pasar mini tempatan terpilih seperti MYDIN, Billion, EconSave dan 99Speedmart mulai 1 Disember," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, biji kopi yang digunakan dalam NESCAFÉ Classic Kopi Kedah disemai dengan kasih dan dipilih dengan teliti sebelum dipanggang sehingga sempurna dan dikisar menjadi serbuk kopi halus.

Produk itu menjanjikan nikmat aroma dan cita rasa NESCAFÉ Classic, mencetus pengalaman kopi tempatan yang benar-benar asli.

Sebagai penghormatan kepada produk 100 peratus semaian tempatan, NESCAFÉ Classic Kopi Kedah serba baharu dibungkus dalam tin aluminium koleksi khas bercorak batik tradisional Malaysia bagi menyerlahkan hasil seni tempatan.

Katanya, pengenalan produk edisi terhad itu adalah antara inisiatif syarikat untuk merungkai kuasa makanan untuk meningkatkan kualiti kehidupan bagi semua rakyat Malaysia.

"Kami menyokong masyarakat luar bandar di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya. Kami terbabit dengan tanaman ladang cili dan sawah padi di beberapa negeri dan kini berbangga untuk memulihkan semula perladangan kopi di Kedah untuk menghasilkan NESCAFÉ Classic Kopi Kedah pertama kami," katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Minuman Nestlé Malaysia, Othman Chraibi berkata, ia adalah permulaan yang sangat baik bagi Program NESCAFÉ Disemai Dengan Kasih, yang setakat ini menyaksikan penyertaan lebih 100 peladang dan menanam hampir 70,000 anak pokok.

"Walaupun sudah mencapai satu penanda aras penting, ini hanya permulaan. Kami akan terus menggiatkan usaha membina masa depan kopi yang mampan dan membawa kesan positif kepada komuniti peladang tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 7:00 AM