FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Pembiayaan yang disediakan di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan serta Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan Agrobank akan menggalakkan pelaburan penggunaan teknologi moden dalam industri pertanian dan pengeluaran makanan di Malaysia.

Penanggung Tugas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, jumlah peruntukan sebanyak RM210 juta untuk kedua-dua program itu akan turut membantu industri memenuhi permintaan jaminan makanan dalam jangka masa panjang.

"Agrobank akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mencapai lebih ramai pelanggan serta memastikan program dan insentif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan dengan cepat untuk memberi faedah yang maksimum kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, program pemodenan vessel yang menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta kepada nelayan untuk menaik taraf peralatan, jaring dan kapal manakala program lain yang menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta kepada pengusaha pertanian untuk mendapatkan peralatan dan teknologi berdasarkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Kedua-dua program itu pada kadar 3.5 peratus untuk tempoh 10 tahun.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2021, katanya ia adalah menyeluruh dan inklusif, mengambil kira pelbagai kumpulan ekonomi masyarakat tani termasuk petani, nelayan dan pekebun kecil, wanita dan usahawan tani B40 serta pengeksport makanan dan hasil.

"Kami menghargai usaha kerajaan untuk memastikan belanjawan adalah inklusif, bertanggungjawab dan menyeluruh ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan mengambil kira semua kumpulan rakyat di Malaysia, terutamanya dalam menghadapi cabaran berikutan ekonomi semasa yang suram," katanya.

Khadijah turut mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM95 juta untuk menyediakan pembiayaan modal kerja kepada usahawan wanita, yang dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan wanita dalam tempoh sukar ini.

"Kami yakin dengan meningkatkan produktiviti dan modal insan dalam kalangan wanita amat penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.

Mengenai lanjutan moratorium, Khadijah berkata, beliau berharap bantuan itu dapat meringankan kehidupan rakyat, terutamanya kumpulan berpendapatan B40 dan M40, dalam tempoh mencabar ini berikutan pandemik Covid-19.

"Dengan pandemik yang telah menjejaskan semua lapisan masyarakat, kami mengalu-alukan semua pelanggan kami untuk menghubungi pegawai cawangan atau pengurus hubungan masing-masing untuk membincangkan kemungkinan penyelesaian untuk mengatasi sebarang cabaran kewangan yang mungkin mereka hadapi," katanya.

Menurutnya, Agrobank akan terus responsif kepada keperluan mereka yang berubah-ubah dan akan terus menyediakan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 11:58 AM