Fairuz Zaidan


PENERBANGAN sulung syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd (AirAsia) membawa seramai 174 penumpang menerusi penerbangan menghubungkan Pulau Pinang ke Melaka, mendarat dengan selamat.

Penerbangan AK6284 menggunakan pesawat A320 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 1.20 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam pada jam 2.25 petang.

Ketibaan pesawat dan penumpang disambut paluan kompang sebelum diraikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Turut hadir EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab; Pengurus Besar Tourism Melaka, Zairi Suboh dan Ketua Komersial Serantau AirAsia, Amanda Woo.

AirAsia menawarkan penerbangan setiap hari (tujuh hari seminggu) bagi laluan Melaka-Pulau Pinang. Melaka juga adalah destinasi domestik keenam AirAsia dan laluan ke-14 dari hab Pulau Pinang.

PENUMPANG penerbangan sulung AirAsia tiba di LTAM dari LTAPP. FOTO RASUL AZLI SAMAD
PENUMPANG penerbangan sulung AirAsia tiba di LTAM dari LTAPP. FOTO RASUL AZLI SAMAD

Adly berkata, kerajaan negeri yakin sasaran 20 juta pelancong setahun ke negeri ini tahun ini tercapai susulan perkhidmatan terbaharu AirAsia ke negeri ini.

“Pada tahun lalu, kita berjaya menerima kehadiran 17.02 juta pelancong dengan jumlah pelancong asing 33.41 peratus. Kita yakin dengan perkhidmatan terbaharu AirAsia, sasaran 20 juta pelancong tahun ini akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan harian AirAsia untuk kedua-dua destinasi itu akan menyumbang kepada lebih ramai kedatangan pelancong, sekali gus membantu mempromosikan Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan utama Asia.

“Di bawah inisiatif Tahun Melawat Melaka 2019, kami memperkenalkan pelbagai pakej pelancongan menarik untuk memenuhi permintaan pelancong asing dan tempatan,” katanya.

Terdahulu, Riad berkata, AirAsia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan rakan kongsi atas sokongan dalam merealisasikan laluan Melaka-Pulau Pinang.

“Kita berharap dapat meneroka lebih banyak peluang dan terus meningkatkan kehadiran kami di Melaka.

“Sempena pelancaran hari ini, AirAsia menawarkan diskaun 20 peratus terhadap semua tempat duduk. Tempahan boleh dibuat di laman airasia.com dan melalui aplikasi mudah alih mulai sekarang hingga 7 Julai ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 4:56 PM