MEGAT Mohd Yatim (tengah) bersama usahawan yang memenangi SUPERB siri ke-14 di Petaling Jaya.
MEGAT Mohd Yatim (tengah) bersama usahawan yang memenangi SUPERB siri ke-14 di Petaling Jaya.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


PETALING JAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melalui Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) menampilkan kelainan bagi pemilihan 2019 dengan penekanan kepada tema mampu menjana pendapatan tinggi.

Enam tema utama adalah ekonomi digital, revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0), perusahaan sosial, ekonomi perkongsian, bidang seni dan kreatif serta inovasi makanan dan pertanian.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Mohd Yatim Megat Hamid berkata, tema diperkenalkan pada SUPERB 2019 ini berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menekankan fokus dalam menaikkan cadangan 15 Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA).

Katanya, melalui SUPERB, ia menjadi platform untuk mengenal pasti usahawan pemula Bumiputera berdaya saing yang menerapkan amalan kreatif dan inovatif dalam penghasilan produk serta perkhidmatan mereka.

“Tahun lalu, kita berhenti seketika daripada melaksanakan SUPERB dan tahun ini sejak penyertaan dibuka pada 31 Julai lalu, SUPERB 2019 menerima 1,179 penyertaan dari seluruh negara.

“Kebanyakan peserta yang kami terima terbabit dalam segmen bioteknologi pertanian, Internet benda (IoT), ekonomi digital dan enterpris sosial,” katanya pada pengumuman pemenang SUPERB siri ke-14 di sini, semalam.

Menurutnya, geran SUPERB akan disalurkan secara berperingkat berdasarkan pencapaian kemajuan produk dan peniagaan serta pemenang yang dipantau TERAJU dan rakan agensi kolaborasinya.

Seramai 26 pemenang SUPERB 2019 diumumkan dan masing-masing menerima geran pembangunan perniagaan sehingga RM100,000 bagi kategori fasa pembentukan dan pembangunan idea atau prototaip.

Manakala, perniagaan yang berada dalam kategori fasa prakomersial atau pengkomersialan akan menerima geran pembangunan perniagaan sehingga RM500,000.

Megat Mohd Yatim berkata, sebanyak RM80 juta geran pembangunan perniagaan disalurkan kepada 201 usahawan pemula Bumiputera sejak 2014 hingga 2017.

Beliau berkata, setiap tahun TERAJU memperuntukkan RM15 juta bagi pelaksanaan SUPERB dan jumlah itu adalah sama tahun ini.

Katanya, TERAJU menyasarkan 90 peratus daripada model perniagaan usahawan SUPERB dapat dikomersialkan.

“Pada masa ini, 60 peratus model perniagaan sedia untuk dipasar dan dikomersialkan serta kami berharap
jumlah itu meningkat pada masa akan datang.

“TERAJU juga akan menggunakan pendekatan berbeza tahun depan bagi memberi peluang kepada usahawan di pedalaman menyertai SUPERB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 11:44 AM