BENYAMIN (tiga dari kanan) bersama Papalia (tiga dari kiri) selepas menandatangani perjanjian bersama TWA, semalam.
BENYAMIN (tiga dari kanan) bersama Papalia (tiga dari kiri) selepas menandatangani perjanjian bersama TWA, semalam.
hmdigital

SEPANG: AirAsia X Bhd dipilih sebagai satu daripada 10 rakan pemasaran global oleh kerajaan Australia Barat menerusi Tourism Western Australia (TWA) bagi mempromosikan destinasi menarik di wilayah terbabit.

Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian pemasaran bersama yang menyaksikan AirAsia X menerima dana sebanyak AUS$1 juta (RM2.87 juta) daripada TWA bagi tujuan promosi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata syarikat penerbangan itu teruja bekerjasama dengan TWA ke tahap yang seterusnya memandangkan ia menawarkan laluan ke Perth sejak 2008.

Menurutnya, AirAsia X juga merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Perth kepada 14 kali seminggu berbanding 11 kali seminggu ketika ini.

“Fokus saya ialah untuk kembali menawarkan penerbangan ke Perth sebanyak dua kali sehari sekiranya kami mampu meningkatkan jumlah penumpang,” katanya pada media selepas majlis menandatangani perjanjian itu, semalam.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan Australia Barat, Paul Papalia.

Benyamin berkata, AirAsia X juga berhasrat untuk menawarkan penerbangan terus ke Perth di beberapa lapangan terbang lain selain di Kuala Lumpur.

Katanya, ia berkemungkinan di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang atau Kota Kinabalu yang dilihat mempunyai potensi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Sejak memulakan penerbangan ke Australia Barat pada November 2008, kami menerbangkan lebih tiga juta penumpang menerusi laluan Kuala Lumpur-Perth, Bali-Perth dan yang terkini Lombok-Perth yang bermula bulan lalu.

“Pada 2018, AirAsia menerbangkan lebih dari 585,000 penumpang dari dan ke Australia Barat,” katanya.

Sementara itu, Papalia berkata beliau berharap kempen pemasaran itu akan dapat menarik 29,000 pelancong baharu dari Malaysia ke wilayah terbabit.

Katanya, ketika ini Malaysia di tempat kedua selepas United Kingdom (UK) daripada segi jumlah kehadiran pelancong ke Australia Barat.

“Tahun lalu, Malaysia merekodkan kehadiran antara 100,000 hingga 110,000 pengunjung ke sini berbanding 130,000 dari UK. Mungkin selepas kempen ini, jumlah pelancong dari Malaysia akan bertambah sekali gus mengatasi UK,” katanya.

Sempena kempen pemasaran itu, AirAsia X menawarkan promosi tambang rendah bermula dari RM299 sehala bagi tempat duduk biasa dan potongan 20 peratus untuk tempat duduk Premium Flatbed bagi penerbangan Kuala Lumpur ke Perth.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 7:30 AM