hmdigital

KUALA LUMPUR: Yuran pengarah yang tinggi dan tidak sepadan dengan kerugian yang dicatat FGV Holdings Bhd (FGV) adalah antara punca utama, salah satu pemegang saham terbesarnya, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) menolak tiga resolusi membabitkan pembayaran berkenaan pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-11 (AGM) kelmarin.

Salah seorang daripada wakil KPF yang hadir pada AGM terbabit ketika dihubungi berkata, penolakan itu mencerminkan isyarat daripada pemegang saham yang mereka tidak berpuas hati dengan prestasi pengarah FGV.

“Sama ada mereka perlu tingkatkan prestasi atau lepaskan jawatan sebagai pengarah. Ini adalah mesej mudah untuk mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Susulan penolakan resolusi itu, katanya, semua pengarah perlu memulangkan semula bayaran yuran yang sudah mereka terima pada tahun lalu.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, syarikat perladangan global itu mencatat kerugian bersih sebanyak RM1.08 bilion, kesan daripada penyusutan harga minyak sawit mentah (MSM) serta pelarasan rosot nilai mencecah RM1.04 bilion.

Selain prestasi FGV yang tidak memberangsangkan, kejatuhan harga sahamnya ke paras terendah dalam sejarah iaitu 63 sen sesaham pada akhir tahun lalu juga menjadi punca KPF menolak resolusi terbabit.

“Anda bayangkan, KPF beli saham FGV pada harga RM4.55 tetapi sekarang harganya sekitar RM1.15, pelarasan rosot nilai sudah banyak dibuat dan sekarang kami merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk menaikkan semula FGV ini.

“KPF bukan tidak mahu bayar atau sokong, kami mahu mereka buat kerja cuma kami merasakan jumlah yuran itu adalah tinggi. Jika jumlah itu dikurangkan kepada separuh, mungkin kami boleh menerimanya,” katanya.

Felda adalah pemegang saham terbesar FGV dengan 33.7 peratus pegangan manakala KPF dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masing-masing memiliki 5.25 peratus dan 1.25 peratus.

Pada AGM FGV kelmarin, mereka menolak resolusi meluluskan pembayaran yuran pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Namun begitu, mereka meluluskan pembayaran sebahagian yuran pengarah berbayar mulai 26 Jun 2019 sehingga AGM berikutnya pada 2020 dan meluluskan pembayaran faedah berbayar mulai 26 Jun 2019 sehingga AGM berikutnya pada 2020.

Selain itu, usul lain yang turut ditolak membabitkan pemberian kuasa kepada pengarah untuk mengumpulkan saham dan menerbitkan saham menurut Seksyen 75 Akta Syarikat 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:00 AM