BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mengenal pasti 23 projek berprofil tinggi yang berpotensi dengan nilai pelaburan RM75.4 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan daripada pelabur asing dari pelbagai negara disasarkan untuk dibawa masuk ke Malaysia pada tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, setakat 31 Oktober lalu, Mida menilai 786 projek pelaburan dengan nilai RM35.8 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Nasional mengenai Pelaburan (NCI) untuk kelulusan.

"Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melalui Mida terus berusaha membawa masuk kadar pelaburan tinggi seperti tahun sebelum ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) berhubung pelaburan luar negara secara langsung (FDI) bagi tahun depan.

DATUK Lim Ban Hong. FOTO arkib NSTP
DATUK Lim Ban Hong. FOTO arkib NSTP

Lim berkata, bagi tempoh Januari hingga September lalu, pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama adalah RM109.8 bilion.

"Sektor perkilangan penyumbang terbesar kepada nilai pelaburan diluluskan iaitu RM65.3 bilion, diikuti sektor perkhidmatan RM42.8 bilion dan sektor utama RM1.7 bilion," katanya.

Daripada jumlah itu, katanya, FDI menyumbang 38.8 peratus yang bernilai RM42.6 bilion dan selebihnya, RM67.2 bilion (61.2 peratus) adalah pelaburan tempatan.

Beliau berkata, pelaburan diluluskan dalam tempoh itu membabitkan 2,935 projek dan dijangka mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 8:57 AM