Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo (kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir di majlis pelancaran kerjasama Tealive dengan Petronas Dagangan dan UiTM. FOTO Zunnur Al Shafiq

Sri Ayu Kartika Amri

Petronas Dagangan Bhd (PDB) menjalin kerjasama dengan Loob Holding Sdn Bhd (Loob) bagi menawarkan francais Tealive di rangkaian Kedai Mesranya di seluruh Malaysia dengan sasaran sehingga 300 cawangan baru Tealive dalam tempoh tiga tahun.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, kerjasama terbabit sejajar dengan strategi syarikat untuk mengembangkan perniagaan bukan bahan apinya.

“Seperti Petronas, Tealive juga adalah jenama yang sangat memahami kehendak pelanggan.

“Saya yakin pelanggan kami teruja dengan penambahan produk baharu di rangkaian Kedai Mesra. Kami juga mahu menjadikan Kedai Mesra sebagai pusat sehenti orang ramai.

“Selain itu, kami terbuka untuk bekerjasama dengan syarikat lain yang mempunyai visi yang sama,” katanya kepada media di majlis pelancaran kerjasama strategik antara PDB dan Loob di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo dan Naib Canselor UiTM, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim.

Setakat ini, Tealive telah berada di empat stesen Petronas iaitu di Bukit Antarabangsa, Ara Damansara, Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Besraya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:46 PM