Kakitangan Pocket Trade, Nur Shahmin Fazli memegang pelekat kempen Sayangi Sawitku pada Perjumpaan Menteri Industri Utama dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama Syarikat-Syarikat Dibawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS). FOTO Rosela Ismail
Kakitangan Pocket Trade, Nur Shahmin Fazli memegang pelekat kempen Sayangi Sawitku pada Perjumpaan Menteri Industri Utama dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama Syarikat-Syarikat Dibawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS). FOTO Rosela Ismail
Mohd Zaky Zainuddin


Kerajaan memperuntukkan subsidi minyak masak berjumlah RM600 juta di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, subsidi berkenaan merangkumi sebanyak 60 sen bagi setiap paket satu kilogram membabitkan keseluruhan 60,000 tan minyak masak.

"Jumlah susbsidi ini membabitkan 282 syarikat pembungkus semula yang berada di bawah skim COSS di seluruh negara.

"Setiap syarikat diberikan kuota tertentu mengikut kawasan bagi membungkus semula minyak masak untuk dijual di pasaran tempatan pada harga RM2.50 sepaket," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan antara KPDNHEP dan Kementerian Industri Utama bersama syarikat di bawah skim COSS di Bangi, hari ini.

Hadir sama, Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Pada acara sama, Kementerian Industri Utama turut memperkenalkan logo Sayangi Sawitku yang akan digunakan kempen berkenaan.

Majlis pelancaran kempen berkenaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Mac ini.

Saifuddin berkata, KPDNHEP akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Industri Utama bagi mendokong kempen Sayangi Sawitku sepanjang tahun ini.

"Kira-kira 282 syarikat pembungkus semula akan mencetak logo Sayangi Sawitku di setiap paket minyak masak bermula 30 Jun ini.

"Kempen ini adalah untuk memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan terhadap minyak sawit kita yang menjadi asas utama minyak masak kita.

"Pembabitan mereka bukan hanya memastikan bekalan minyak masak mencukupi, malah membantu kerajaan menyampaikan kempen kepada khalayak sasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 2:11 PM