Sebahagian produk yang ditawarkan Dutch Lady Malaysia.
Sebahagian produk yang ditawarkan Dutch Lady Malaysia.
Nabil Basaruddin


Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) kekal komited dengan matlamatnya untuk meningkatkan kadar penggunaan susu dalam kalangan rakyat negara ini yang mana ia terbukti bermanfaat kepada kesihatan.

Pengarah Urusannya, Tarang Gupta berkata, Dutch Lady Malaysia juga mempunyai peranan yang penting dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan susu di negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan kepada Tinjauan Nutrisi Asia Tenggara pada 2014 (SEANUTS 1.0), satu daripada dua kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di Malaysia menderita akibat kekurangan Vitamin D.

“Kekurangan vitamin penting boleh menyebabkan kekurangan penyerapan kalsium yang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan bagi setiap orang dalam lima kanak-kanak.

“Penemuan SEANUTS 1.0 itu menunjukkan satu daripada dua kanak-kanak Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Gupta berkata, penyelesaian kepada isu terbabit adalah pengambilan susu dan senaman yang mana setiap kanak-kanak perlu mengambil dua gelas susu yang kaya dengan kalsium dan protein.

“Oleh itu, kami telah memberi tumpuan terhadap pelaburan secara besar-besaran dalam pemasaran dan pengenalan produk baharu serta melabur bagi kilang pengeluaran Ultra-High Temperature (UHT) baharu di Petaling Jaya.

“Syarikat juga mencapai pertumbuhan volum tahun ke tahun sebanyak tiga peratus pada 2018 berbanding 2017 yang dipacu oleh pelaburan dalam penetapan harga strategik untuk memastikan ia mampu milik,” katanya.

Tambahnya, perolehan keseluruhan tahun menurun sebanyak 1.5 peratus berbanding 2017, bagaimanapun untung sebelum cukai meningkat 29.6 peratus pada suku keempat kepada RM38.9 juta berbanding tempoh sama pada 2017.

Selain itu, bagi tahun kewangan 2018, perolehan meningkat menjadi RM171.3 juta dari RM157.5 juta pada tahun sebelumnya.

“Untung meningkat disumbangkan oleh kecekapan operasi, inovasi produk dan strategi pemasaran selain kadar tukaran mata wang dan harga tenusu yang lebih baik,” katanya.

Gupta berkata, pihaknya juga akan sentiasa meneroka cabang baharu untuk terus mengembangkan perniagaannya kepada pasaran lain.

“Contohnya, dalam kerjasama baru-baru ini bersama Persatuan Pakar Kopi Malaysia (MSCA) pada Cafe Malaysia 2018 bagi menembusi pasaran hotel, restoran dan katering,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 6:49 PM