Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada 2019 berbanding tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias berkata, pihaknya menjangkakan 2019 sebagai satu tahun yang menarik serta bakal merekodkan prestasi yang lebih memberangsangkan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat dijangka menaikkan kadar faedah.

“Perkara ini dilihat akan menyumbang kepada peningkatan kadar mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dari semasa ke semasa dan dalam hal ini, orang ramai akan dapat mengambil kira risiko dalam pelaburan mereka.

“Malah, terdapat juga kebimbangan terhadap jumlah dagangan dengan perang dagang antara AS dan China yang masih berterusan.

“Risikonya sentiasa ada namun di negara ini, kita lebih selesa, malah menjangkakan pertumbuhan dagangan bersandarkan kepada dasar dan polisi sedia ada yang dilaksanakan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran dua perkhidmatan baru antara Maybank dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) di sini, semalam.

Abdul Farid berkata, pihaknya turut melihat prestasi kumpulan pada tahun ini adalah seperti yang dijangkakan.

“Meskipun tahun kewangan tahun ini masih belum berakhir, namun kita boleh saksikan pertumbuhan prestasi masih lagi seperti yang diunjurkan.

“Bank juga melihat bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk mengalami pertumbuhan sekitar 4.8 peratus tahun ini dan bagi kami, perkembangan bank adalah seiring dengan ekonomi negara.

“Pertumbuhan bank bagi pasaran lain seperti di Indonesia dan Thailand turut bergantung kepada pertumbuhan KDNK bagi negara berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai serangan siber yang dihadapi oleh satu institusi kewangan baru-baru ini, beliau berkata, keselamatan siber adalah usaha berterusan yang perlu dilaksanakan oleh mana-mana bank mahupun institusi kewangan.

“Keselamatan siber adalah usaha yang perlu dilakukan secara terus kerana penjenayah siber begitu licik.

“Di Maybank, kami memperuntukkan masa sepenuhnya bagi menyusun strategi dalam mengurangkan risiko dan setakat ini, platform Maybank2U masih selamat dan diharapkan ia akan berterusan baik untuk digunakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 12:00 PM