TONY (depan, kiri) berjabat tangan dengan Tran selepas menandatangani MoU.
TONY (depan, kiri) berjabat tangan dengan Tran selepas menandatangani MoU.
Bisnes NSTP

KUALA LUMPUR: AirAsia telah menandatangani Memorandum Kerjasama yang mengukuhkan hasratnya untuk menubuhkan syarikat penerbangan tambang rendah di Vietnam dengan rakan kongsi tempatan.

Memorandum itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes dan ahli perniagaan Vietnam, Tran Trong Kien sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Saham Bersama Thien Minh Travel (TMG) dan Ketua Pengarah Syarikat Saham Bersama Hai Au Aviation (HAA), di Hotel InterContinental Hanoi Landmark72 di Hanoi, Vietnam.

Ia diadakan di luar Sidang Kemuncak Pelancongan Vietnam 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata, AirAsia adalah syarikat penerbangan Asean dan di rantau ini, Vietnam antara negara dengan penduduk yang besar terakhir yang belum dijejaki.

“Memorandum ini mengesahkan komitmen kami untuk menubuhkan AirAsia di Vietnam. Pada tahun lalu, ketika kami mengumumkan usaha sama ini, kami yakin dengan Vietnam dan kini kami tetap yakin berkhidmat dengan salah satu negara yang mempunyai ekonomi paling dinamik dan paling pantas berkembang di Asia.

“AirAsia kini menjadi kumpulan syarikat penerbangan asing terbesar di Vietnam melalui kapasiti. Kami kini beroperasi ke lima destinasi di sini, termasuk laluan terbaru kami, Phu Quoc.

“Kami akan terus memperluaskan rangkaian untuk menghubungkan Vietnam ke rantau Asean dan berharap usaha sama tempatan mempercepatkan langkah ini,” katanya.

Setakat ini, syarikat penerbangan itu menawarkan perjalanan ke lima destinasi di Vietnam.

Ia meliputi 141 penerbangan pergi-balik dalam seminggu di 13 laluan menghubungkan Hanoi, Ho Chi Minh, Da Nang, Nha Trang dan Phu Quoc dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru di Malaysia, Bangkok dan Chiang Mai di Thailand dan Manila di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 9:37 AM