MOHD Imran Mohamad Salim. FOTO arkib NSTP
MOHD Imran Mohamad Salim. FOTO arkib NSTP

MALAYSIAN Resources Corporation Bhd (MRCB) mengumumkan pengarah eksekutif Mohd Imran Mohamad Salim dilantik sebagai pengarah urusan (MD) kumpulan itu berkuat kuasa 2 Julai.

Dalam pengumuman di Bursa Malaysia, hari ini, syarikat itu berkata, Tan Sri Azlan Zainol akan memegang jawatan sebagai pengerusi bebas.

“Tan Sri Mohamad Salim menyatakan hasratnya untuk bersara sebagai pengarah urusan kumpulan syarikat,” katanya.

Ia berkata, perubahan itu mematuhi Amalan 4.1 Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) yang mana sekurang-kurangnya separuh lembaga pengarah syarikat senaraian awam sepatutnya terdiri daripada pengarah bebas.

MRCB berkata, MCCG juga menyebut bagi syarikat besar, yang mana permodalan pasaran melebihi RM2 bilion, majoriti lembaga pengarah sepatutnya terdiri daripada pengarah bebas.

Ketika ini, lima daripada lapan pengarah syarikat terdiri daripada pengarah bukan bebas, dan hanya tiga adalah pengarah bebas.

Mengikut perubahan yang akan berkuat kuasa 2 Julai, terdapat empat pengarah bebas iaitu Azlan Zainol sebagai pengerusi bebas, Jamaludin Zakaria (pengarah bebas kanan) manakala, Hasman Yusri Yusoff dan Toh Puan Janet Looi Lai Heng (pengarah bebas).

Sementara itu, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Rohaya Mohammad Yusof akan dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas dan Mohd Imran pengarah urusan kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 7:40 PM