Hoseok
Hoseok
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: 11street, peneraju e-dagang terbesar di Malaysia yakin pelaksanaan dagangan rentas sempadan (CBT) mampu memberi kelebihan kepada platform dalam talian itu untuk menawarkan lebih banyak produk dengan pilihan harga lebih murah kepada pengguna di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif 11street Hoseok Kim berkata, pihaknya optimis dalam menyasarkan pertumbuhan inisiatif CBT itu sebanyak 50 peratus daripada jumlah unit penyimpanan stok (SKU) yang ketika ini berada pada kadar antara 20 hingga 30 peratus saja.

Beliau berkata, setakat ini jualan bagi segmen CBT hanya membabitkan kira-kira lapan juta produk bagi keseluruhan SKU di mana tiga kategori yang sentiasa mendapat perhatian ialah kesihatan dan kecantikan, kosmetik serta barangan fesyen.

“Dalam masa terdekat ini, kami merancang untuk mengembangkan tawaran kepada lebih 20 juta produk dengan membawa masuk lebih banyak produk berkualiti dari China khususnya dalam segmen fesyen dan gajet.

“Kami di 11street begitu teruja untuk menyediakan produk terbaru dan terkini bagi pengguna Malaysia yang sentiasa bersama kami selama ini,” katanya kepada Bisnes Metro.

Selain itu, menurutnya, bagi mengukuhkan kehadiran 11street di Malaysia, syarikat turut menjalin kerjasama strategik dengan peneraju e-dagang dari Taiwan, UiTOX serta Worldfront dari Australia.

Katanya, pilihan kerjasama dengan dua gergasi e-dagang itu bertujuan memastikan 11sreet berupaya menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang begitu teruja dengan pilihan produk dari luar negara.

“UiTOX mempunyai latar belakang dan prestasi cemerlang apabila berjaya meraih jualan yang tinggi dan bagi kerjasama ini, ia akan menawarkan pelbagai produk khususnya dalam kategori makanan, kesihatan dan kecantikan.

“Kerjasama dengan Worldfront menerusi anak syarikatnya, Fishpond, kita menyasarkan jualan mampu meningkat antara 40 hingga 50 peratus pada hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi keseluruhan prestasi tahun ini, 11street menyasarkan pertumbuhan platform e-dagang itu berkembang sekitar 70 peratus bagi segmen domestik dan 50 peratus bagi pertumbuhan global.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 7:38 AM