Fazurawati Che Lah


SUASANA pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas (SUTAS), Batu Caves, Selangor pada Isnin lalu gamat dan meriah dengan persembahan tarian K-Pop oleh 14 pelajar dari Seoul, Korea Selatan sebagai gimik kedatangan mereka ke Malaysia.

Delegasi pelajar Korea Selatan dari Seoul Technical High School (STHS) itu bagi mengikuti program Pertukaran Pelajar Apec Learning Community Builder (ALCoB) untuk berkongsi budaya dan teknologi bersama warga SUTAS.

Sepanjang lima hari di sekolah itu, dua kelas pembuatan dron dan hanbok iaitu baju tradisi masyarakat Korea didedahkan kepada 70 pelajar.

Pengetua, Siti Aida Joned, berkata kedatangan pelajar Korea Selatan bersama tiga guru dan seorang pengetua itu adalah lanjutan daripada Program Pertukaran Guru Korea-Malaysia (KOMTEP) 2018.

Katanya, pada KOMTEP 2018, seorang guru dari sekolah berkenaan, Mohamad Farid Mohamad Fauzi terpilih mengikuti program itu selama tiga bulan.

Melalui pertukaran ini, guru dan pelajar meraih pengalaman berharga untuk mengukuhkan serta meningkatkan kualiti pengajaran selain pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Menerusi jaringan perhubungan pendidikan baharu, peluang dan pengalaman yang diperoleh daripada KOMTEP, program ini dijadikan satu platform kepada SUTAS untuk memperluaskan selain melebarkan jaringan ke peringkat antarabangsa.

PELAJAR Korea dari STHS mengikuti ALCoB di SMK Sungai Kertas, Gombak.
PELAJAR Korea dari STHS mengikuti ALCoB di SMK Sungai Kertas, Gombak.

“Pihak STHS turut berkongsi teknologi dron apabila guru dan pelajar mereka memberi tunjuk ajar berkenaan pembinaan dron, bermula dengan teori, membuat dan memasang hinggalah menerbangkan dron itu,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Farid berkata, menerusi aktiviti berkenaan pelajar SUTAS berpeluang menimba ilmu dan didedahkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta reka bentuk teknologi (RBT).

“Dalam aktiviti ini, pelajar SUTAS yang terdiri daripada pelajar Sains Rumah Tangga (SRT) didedahkan dengan sejarah dan etika pemakaian pakaian tradisional Korea itu,” katanya.

Muhammad Farid memberitahu, apa yang lebih menarik, STHS dengan berbesar hati menyumbang 14 dron dan 10 pasang hanbok yang bernilai hampir RM10,000 kepada SUTAS untuk tujuan pendidikan berterusan pada masa akan datang.

Peserta program, Ahmad Zaid Zabidi Ahmad Zaiful Ezat, 16, berkata program itu memberikan pengalaman yang menarik kerana dapat mengenal budaya masyarakat Korea.

“Banyak persamaan dari segi budaya antara masyarakat Korea dengan Malaysia, contohnya mereka juga bermain batu seremban juga permainan tradisi yang dipanggil googi.

“Jika kita di Malaysia menggunakan batu atau bunjut kain, mereka pula guna manik. Permainan juga sama dengan kita,” katanya.

Rakannya, Wan Nurain Sofea Wan Mohd Fauzi, 15, pula berkata, banyak yang dipelajari sepanjang lima hari bersama pelajar Korea Selatan itu.

“Mereka sangat mesra dan tidak lokek ilmu biarpun ada antara mereka tidak berapa fasih berbahasa Inggeris.

“Masalah komunikasi langsung tidak menghalang, guru dan pelajar STHS mengajar kami membuat origami hanbok dan kipas tangan. Kami juga turut berkongsi dengan mereka cara bermain muzik tradisional, gamelan.

“Apa yang menarik, selepas tiga jam pembelajaran, pelajar Korea Selatan ini boleh memainkan lagu Wau Bulan, Lenggang Kangkung dan lagu tradisional Korea, Arirang,” katanya.

Bagi pelajar, Nik Muhammad Al-Fatih Nik Syahriman, 15, pula memberitahu kagum dengan kecanggihan teknologi Korea Selatan dalam bidang sains dan matematik apabila dia dan rakan diajar cara membina dron.

“Saya mempelajari cara membina dan menerbangkan dron yang selama ini tidak pernah saya lakukan.

“Dalam kelas ini juga saya mempelajari pengiraan matematik, keseimbangan dan sebagainya. Saya berharap program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ia sangat memberikan manfaat kepada kami sebagai pelajar,” katanya.

SUTAS sebagai tuan rumah menyediakan pelbagai aktiviti untuk pelajar STHS, antaranya kelas bahasa Inggeris, membawa delegasi STHS ke Kolej Vokasional Sungai Buloh untuk lawatan sambil belajar.

Malah SUTAS yang juga mempunyai pelajar dari kaum Orang Asli sekali gus memberi peluang kepada delegasi Korea ini pengalaman berharga untuk bersama-sama pelajar itu melawat kampung mereka di Perkampungan Orang Asli Kampung Ulu Batu, Ulu Yam, Selangor.

Selain itu, SUTAS dan STHS turut memeterai Perjanjian Nota Persefahaman (NoU) bagi pembangunan dan perkongsian dalam bidang pendidikan dalam jangka masa panjang bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dan berketerampilan seterusnya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 9:23 AM
PROGRAM pertukaran pelajar Korea Alcob School di SMK Sungai Kertas, Gombak.
PROGRAM pertukaran pelajar Korea Alcob School di SMK Sungai Kertas, Gombak.