HANNAH (dua, kiri) melawat pameran sukan permotoran di Speedway Plus Karting Circuit hari ini. FOTO Bernama
HANNAH (dua, kiri) melawat pameran sukan permotoran di Speedway Plus Karting Circuit hari ini. FOTO Bernama
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan mahu memastikan sukan permotoran negara memperoleh bajet mencukupi bagi mengembangkan lagi bakat yang ada dalam sukan itu untuk terus menyerlah di pentas antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, itu perkara pertama yang akan diperjuangkannya dalam usaha memastikan ramai pihak mampu mengambil bahagian dalam sukan permotoran yang hakikatnya membabitkan kos tinggi.

"Perancangan saya yang pertama adalah memperjuangkan bajet mencukupi untuk mereka (sukan permotoran). Ini adalah cabaran setiap menteri.

"Setiap tahun KBS dan kementerian lain akan minta bajet untuk kita pastikan sukan permotoran terus berkembang. Kita mesti ada bajet yang mencukupi untuk mereka.

"Jadi saya sedang melihat bajet untuk SIC (Litar Antarabangsa Sepang) bagaimana kita nak bantu dan pastikan semua orang mampu untuk mengambil bahagian dalam sukan ini," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah perancangannya untuk membantu pelumba berbakat sukan empat roda seperti pelumba go-kart negara, Amer Harris Jefry yang berjaya memikat dua pasukan Eropah untuk beraksi dalam perlumbaan musim penuh kategori KZ tahun depan.

Amer mempamerkan prestasi luar biasa ketika sesi ujian bagi kategori KZ bersama CPB Sports yang juga pasukan satelit bagi Factory Team SODI yang berlangsung di Litar South Garda Karting, Lonato, Itali, Julai tahun lalu.

Pelumba berusia 19 tahun itu juga adalah juara go-kart Asia sebanyak tiga kali dan dilihat mempunyai masa depan yang cukup cerah dalam sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 5:57 PM