Nurul Husna Mahmud


Lebih 20 peserta yang menyertai kategori Junior tampak begitu teruja dalam saingan kelima Taurus Kartmania di City Karting International Kart Circuit, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pertandingan berkenaan dianjurkan Taurus Energy Drink kolaborasi bersama pusat go kart berkenaan menyaksikan empat kategori dipertandingkan dan satu daripadanya kategori Junior.

Biarpun peserta kategori berkenaan menampilkan mereka yang berusia antara 8 hingga 13 tahun, skil dan kemahiran memandu mereka tampak matang. Ditambah pula mengenakan sut perlumbaan, mereka tampak seperti pelumba sebenar bersaing mencari tempat di atas podium.

Mahu asah bakat muda

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Taurus Energy Drink Wazri Wazeer dia teruja dapat menganjurkan kejohanan berkenaan. Katanya, penganjuran itu dapat memberi tanggapan mengenai gaya hidup sihat bersesuaian dengan imej produk syarikatnya selaku minuman tenaga.

Mengakui produk berkenaan baru saja mengintai pasaran tempatan empat bulan lalu, namun pihaknya aktif berkolaborasi dengan beberapa operator mahupun kelab tempatan.

“Melihat sukan go-kart juga sesuatu menarik pelbagai kumpulan umur, kami berasa teruja menjadi penggerak dalam penganjuran perlumbaan sukan permotoran itu.

“Lihat saja peserta seawal usia malah ada antaranya kanak-kanak perempuan teruja bersaing dalam litar. Mereka tidak takut mahupun panik kerana minat dalam sukan itu.

“Untuk tahun ini kami menjangkakan lapan pusingan dan kini sudah pusingan kelima. Kami ada juara pusingan dan penutupnya ialah juara keseluruhan.

“Melihat prestasi memberangsangkan dan sambutan peserta asing sanggup terbang ke Malaysia untuk menyertai pertandingan berkenaan, saya lihat kejohanan sama bakal dianjurkan lebih besar untuk tahun akan datang,” katanya.

Minat disemai orang tua

Bagi peserta Lavinesh Mohannair, 12, dia teruja dapat menyertai perlumbaan itu bersama adiknya, Shaarvinnesh Mohannair, 11. Katanya minat itu didorong oleh orang tua mereka yang bekerja dengan syarikat perlumbaan permotoran.

“Saya dan adik sangat berminat dengan sukan kereta ini sejak sering mengikuti orang tua ke trek perlumbaan. Kerap bertemu dengan pelumba kereta, kami meminta orang tua membenarkan kami menyertai aktiviti ini.

“Bapa saya terutamanya kerap membawa kami ke pusat sukan go-kart untuk latihan dan tidak cukup dengan itu kami meminta mereka mendaftarkan kami dalam pelumbaan.

“Rasa lagi puas hati apabila bertemu dengan lawan hebat dan belajar mengenai teknik memandu mereka untuk meningkatkan skil sendiri,” katanya.

Persaingan sihat

Buat Shaarvinnesh pula, menyertai go-kart ialah laluan awal untuk dia menggapai impian selaku pemandu Formula Satu.

“Cita-cita saya ialah bergelar pemandu Formula Satu. Jadi kenalah bermula dengan pertandingan kecil seperti go-kart dan rasai pengalaman untuk jadi pelumba terbaik. Selain itu apabila hobi ini dikongsi bersama abang dan bapa, saya rasa hobi ini membuatkan kami begitu akrab.

“Malah ibu serta kakak juga kerap datang menyaksikan kami bertanding. Bagi saya ia sesuatu yang amat bermakna dan baik buat saya serta abang. Kami tidak pernah cemburu atas kejayaan masing-masing, sebaliknya banyak belajar antara satu sama lain bagaimana untuk mengejar tempat terbaik,” katanya.

Kemenangan bermakna

Buat juara kategori terbabit, Aaron Hakim Mohd Haikal, kemenangan itu membuatkan dia berasa cukup puas hati dengan sesi latihan dijalani setiap petang.

“Selepas sekolah saya akan datang berlatih sekurang-kurangnya empat jam untuk memperbaiki skil sedia ada. Saya sentiasa menyasarkan tempat pertama dan untuk itu saya kena selalu berlatih.

“Meskipun sibuk dengan hal sekolah dan perlu berlatih dalam cuaca panas, saya tidak kisah kerana minat terhadap perlumbaan kereta. Saya berharap untuk menyertai perlumbaan di luar negara serta berada di dalam tangga teratas tidak saja peringkat kebangsaan malah Asia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:05 AM
CUBA mendekatkan jarak.
CUBA mendekatkan jarak.
CUBA memberi saingan.
CUBA memberi saingan.
MENGUASAI litar.
MENGUASAI litar.
TIBA di kawasan parkir go-kart.
TIBA di kawasan parkir go-kart.
COMEL peserta bersedia dalam kart masing-masing.
COMEL peserta bersedia dalam kart masing-masing.