MARQUEZ sebelum perlumbaan GP Portugal. FOTO EPA
MARQUEZ sebelum perlumbaan GP Portugal. FOTO EPA
AFP

Portimao, Portugal: Juara dunia enam kali, Marc Marquez berkata kepulangannya dalam perlumbaan MotoGP terasa seperti kembali ke sekolah "seorang lelaki tua yang sudah berusia memberi tahu anda apa perlu dilakukan dan ke mana harus pergi."

Pelumba Sepanyol berusia 28 tahun itu menamatkan perlumbaan GP Portugal di tempat ketujuh pada perlumbaan pertamanya sejak patah tangan kanan di Jerez Julai tahun lalu.

Tiga pembedahan diperlukan dan selepas sembilan bulan Marquez kembali dan mengakhiri perlumbaan sebagai pelumba Honda terbaik.

"Bahagian paling sukar adalah selekoh pertama kerana saya berasa seperti terkeluar daripada saingan," kata Marquez yang menyaksikan Fabio Quartararo merangkul kemenangan ketiga untuk Yamaha musim ini.

"Seperti di sekolah ketika anda bermain bola sepak bersama mereka yang lebih berusia dan mereka memberi tahu anda apa yang perlu dilakukan dan ke mana perlu pergi.

"Pada selekoh awal, saya tidak menemui rentak, tidak dapat mengawal motosikal dan ramai pelumba memintas saya.

"Kemudian, saya tenang dan saya mula mendapat rentak. Saya dapat catatan masa pusingan terpantas pada penghujung perlumbaan. Jika kita menganalisisnya, ia cuma 13 saat di belakang Quartararo, ia menakjubkan."

Marquez mendapat tepukan gemuruh dari pasukannya ketika dia kembali ke pit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 1:51 PM