TSUNODA melakukan penampilan pertama di Grand Prix Bahrain. FOTO FB AlphaTauri
TSUNODA melakukan penampilan pertama di Grand Prix Bahrain. FOTO FB AlphaTauri
Agensi

Sakhir: Pemandu AlphaTauri, Yuki Tsunoda mengakui agak beremosi ketika memintas juara dunia dua kali Formula Satu (F1), Fernando Alonso pada penampilan pertamanya di Grand Prix Bahrain.

Tsunoda melakukan gerakan agresif untuk memintas Alonso pada selekoh pertama pusingan ke-27 di Bahrain selepas bermula agak perlahan.

Pemandu Jepun itu menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, namun sebelum itu melakukan gerakan menarik memintas pemandu Aston Martin, Lance Stroll pada pusingan terakhir.

"Agak beremosi dapat memintas Fernando. Kali terakhir saya menyaksikannya 12 atau 13 tahun lalu, iaitu ketika umur saya tujuh atau lapan tahun.

"Pada selekoh pertama, saya hanya mencuba memintas Fernando dengan meniru gaya pemanduannya.

"Sudah pasti gaya pemanduan saya tidak sama dengannya, tetapi saya sangat gembira dapat memintasnya," katanya.

Tsunoda juga mendedahkan bapanya adalah peminat setia gaya pemanduan agresif Alonso dan ketika di Bahrain, dia mencuba beberapa cara pemanduan Alonso bersama jentera Alpine.

"Ayah saya peminat setia Fernando terutama gaya pemanduannya. Kali pertama ayah saya melihat Fernando adalah di Suzuka. Sudah tentu saya juga terikut-ikut gaya pemanduannya.

"Saya bersaing bersamanya untuk beberapa pusingan dan saya belajar daripadanya bagaimana mengawal penggunaan tayar dan mengambil selekoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 10:55 PM