LI Jane bersama trofi Terbuka Wanita AS. FOTO Bowling Malaysia
LI Jane bersama trofi Terbuka Wanita AS. FOTO Bowling Malaysia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sin Li Jane melakar sejarah muncul pemain boling pertama negara memenangi Kejohanan Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) di Royal Pin Woodland, Indianapolis, semalam.

Li Jane menewaskan pemain dari Latvia, Diana Zavjalova 226-214 pada perlawanan akhir stepladder sekali gus membawa pulang hadiah wang AS$60,000 (RM282,500) selain jaket hijau kejuaraan dan trofi. Manakala lawannya, Diana membawa pulang AS$30,000 (RM141,200).

Pemain negara berusia 32 tahun itu adalah wakil Asia kedua yang memenangi kejohanan itu selepas Shinobu Saitoh dari Jepun pada tahun 1982.

"Saya berasa sangat gembira, saya mahu memastikan bahawa saya akan menang malam ini (semalam)."

"Saya sudah mengimpikan detik ini sejak sekian lama, dan selepas melihat pemain boling lain memenanginya ketika saya tiada di kejohanan ini, hari ini (semalam), saya memenanginya," kata Li Jane dalam satu kenyataan.

Sejak diperkenalkan pada 1949, pencapaian terbaik atlet boling negara sebelum ini dilakar Datuk Shalin Zulkifli yang menduduki tempat ketiga pada edisi 2008.

Li Jane kini menjadi pendahulu untuk anugerah Pemain Terbaik Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA).

Dia boleh dinobatkan pemain antarabangsa pertama memenangi Pemain Terbaik Tahunan (POTY) jika terus mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Jelajah dekat Thunderbowl Lanes di Detroit, Michigan bermula 6 hingga 13 Ogos depan.

"Saya tidak pernah terfikir untuk memenangi Pemain Terbaik Tahun ini. Saya hanya fokus satu persatu dan terserah apa yang berlaku seterusnya," katanya.

Pada 31 Mei lalu, Li Jane merangkul kejuaraan Jelajah PWBA ketiganya dengan memenangi Greater Nashville Classic dan sebelum itu beliau memenangi Bowlers Journal Rockford Open pada 11 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 12:23 PM