SETIAUSAHA Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader. FOTO ARKIB NSTP
SETIAUSAHA Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Piala Dunia Sepak Takraw 2024 bakal menghadirkan kelainan apabila Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) menyediakan tiga anugerah tambahan, sekali gus menyemarakkan lagi saingan itu nanti.

Menurut Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader, saingan Piala Dunia yang dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 18-26 Mei ini bukan saja menyediakan trofi buat pasukan terbaik, malah turut diberikan kepada pemain.

Katanya, tiga anugerah baharu iaitu Tekong Terbaik, Apit Kanan Terbaik dan Apit Kiri Terbaik akan diwujudkan pada saingan Piala Dunia kali ini.

"Sudah tiba masanya sukan sepak takraw memasuki era baharu dalam kejohanan Piala Dunia di Kuala Lumpur ini dengan memperkenalkan beberapa perubahan.

"Buat pertama kalinya, Piala Dunia kali ini akan menyediakan anugerah baharu membabitkan anugerah Tekong Terbaik, Apit Kanan Terbaik dan Apit Kiri Terbaik.

"Ini antara kelainan dan nilai tambah dalam sukan sepak takraw agar ia lebih menarik dan masing-masing akan tampil lebih kompetitif untuk dinobatkan sebagai tekong terbaik.

"Selama ini kita hanya mendengar orang bercakap pemain Thailand tekong terbaik, pemain Malaysia apit terbaik, tapi apa buktinya.

"Jadi dalam Piala Dunia kali ini, anugerah ini lah akan diwujudkan bagi mengiktiraf pemain daripada setiap pasukan siapakah 'raja' bagi setiap kategori itu," katanya eksklusif kepada Arena Metro, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Halim mengesahkan pihaknya menyediakan hampir setengah juta untuk diberikan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi melancarkan perjalanan saingan Piala Dunia Sepak Takraw bulan depan.

"Kita akan berikan RM300,000 merangkumi peralatan dan penyediaan penganjuran Piala Dunia ini kepada pihak PSM.

"Malah kos sistem semakan video atau 'video challenge' juga ditanggung ISTAF bagi memastikan penganjuran kali ini lancar dan tiada sebarang isu kontroversi," katanya dengan difahamkan kos sistem berkenaan hampir RM200,000.

Sebanyak 21 negara bakal bersaing di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 ini dengan babitkan kategori Premier untuk acara berpasukan yang mempunyai Piala Khas, selain acara beregu dan regu turut dipertandingkan.

Untuk Premier ada 12 negara iaitu Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina.

Manakala saingan divisyen 1 pula menyaksikan sembilan negara bertanding iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 5:28 PM