DHABITAH dan Wendy  masih mempunyai satu lagi peluang untuk layak ke Paris 2024 menerusi acara 3m papan anjal individu esok.
DHABITAH dan Wendy masih mempunyai satu lagi peluang untuk layak ke Paris 2024 menerusi acara 3m papan anjal individu esok.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kem terjun negara terus suram selepas terbaru gandingan Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia selepas pasangan negara itu menamatkan acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar di tempat kesembilan daripada 18 pasangan dengan mengumpul 258.30 mata keseluruhan, hari ini.

Seperti dijangka kuasa besar acara itu, China yang diwakili Chang Yani-Chen Yiwen memenangi pingat emas dengan 323.43 mata manakala gandingan Australia, Anabelle Smith-Maddison Keeney pulang dengan perak, 300.45 mata.

Pasangan Britain, Scarlett Mew Jensen-Yasmin Harper yang mengumpul 281.70 mata daripada lima terjunan, menduduki tempat ketiga.

Empat pasangan di kedudukan teratas akan menempah tiket ke Paris 2024 secara merit dan sekiranya ada daripada kelompok berkenaan yang sudah melayakkan diri, slot kelayakan akan diberikan kepada pasangan di bawah mereka.

Wendy dan Dhabitah masih mempunyai satu lagi peluang untuk layak ke Paris 2024 menerusi acara 3m papan anjal individu yang bermula dengan pusingan kelayakan, esok.

Terdahulu, gandingan Dhabitah dan Datuk Pandelela Rinong gagal merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris apabila menduduki tempat ke-12 dalam acara terjun 10 meter (m) platform seirama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 9:53 PM