DATUK Megat Zulkarnain Omardin. FOTO ASYRAF HAMZAH
DATUK Megat Zulkarnain Omardin. FOTO ASYRAF HAMZAH
Amir Mamat


Alor Gajah: Melaka sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Kejuaraan Silat Dunia yang bakal berlangsung tahun depan.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Wira Zulkarnain Omardin, memaklumkan, pihaknya secara dasarnya bersetuju memilih Melaka sebagai lokasi penganjuran bertaraf dunia itu selepas Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) bersetuju memilih Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan berpestij itu.

"Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah itu susulan kejayaan negeri Hang Tuah berkenaan dalam penganjuran kejohanan yang sama, tahun lalu.

"Selain itu, ia bertepatan dengan sejarah dan warisan yang ada di Melaka dan diiktiraf sebagai sebuah wilayah terkenal dengan lagenda kepahlawanan Melaka dalam ilmu persilatan suatu ketika dahulu.

"Saya yakin, menerusi penganjuran Kejuaraan Silat Dunia itu kelak bakal memeriahkan lagi aktiviti Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang diadakan sepanjang tahun depan," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri ditemui selepas mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia Ke-44 di A' Farmosa Resort, di sini hari ini.

Melaka pernah menjadi tuan rumah Kejuaraan Silat Dunia tahun lalu yang menampilkan lebih 500 pesilat dari 40 negara seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata, menerusi satu kongres yang diadakan di Dubai pada 7 November lalu, majoriti negara anggota Persilat sepakat untuk memilih Malaysia menjadi tuan rumah kejuaraan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 6:32 PM