MISHA mengajak Hannah menyanyi bersama.
MISHA mengajak Hannah menyanyi bersama.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Terkejut saya @mishaomar tiba-tiba berdiri sebelah saya ajak saya nyanyi. Menakutkan kerana saya tak pandai nyanyi. Anda boleh lihat saya beritahu dengan Misha, saya kata suara saya tak boleh keluar."

Itu luahan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang dilihat 'gelabah' selepas didekati penyanyi terkenal, Misha Omar di mejanya ketika hadir pada majlis Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) temasya Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 2023, Khamis lalu.

Menerusi perkongsian video pendek di akaun media sosial Hannah, Misha dilihat mendekatinya sebelum duduk di tepinya ketika menyanyikan lagu dendangan ratu rock, Ella berjudul Standing In The Eyes Of The World.

Ketika itu, Hannah dilihat mula 'gelabah' dan pantas melihat kepada skrin telefon bimbitnya untuk mencari lirik lagu berkenaan.

Menerusi ruangan komen, Misha pantas memohon maaf kepada Hannah kerana menganggap kelakuannya tidak sopan apabila tiba-tiba duduk di tepi Menteri Belia dan Sukan itu.

"I tak boleh tidur satu malam tau YB (Yang Berhormat), sebab i tumpang duduk macam selesa betul dekat 'your arm rest' tu, macam tak sopan pulak. Saya tak berpeluang untuk meminta maaf.

"Masa tengah nyanyi tu baru sedar...minta maaf ya...lain kali dah tak tumpang duduk tau...tapi untuk membuat anda menyanyi pada masa depan i tak janji...mungkin kita lakukannya di atas pentas," tulis Misha.

Hannah membalas komen Misha itu dan mengakui dirinya ketika itu cemas mencari lirik lagu Ella selain tidak tahu menyanyi.

"Tak ada masalah duduk dengan saya, anda Misha Omar! Masa tu saya tengah 'stress' tengok lirik dalam telefon kerana Misha suruh semua orang google lirik. Lagu Ella pulak tu, bukan senang untuk nyanyi.

"Lirik tak terkeluar langsung daripada mulut, jadi saya pulangkan mic (mikrofon). Sorry, betul tak tahu nyanyi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 3:18 PM