SKUAD sepak takraw Terengganu tekad pamer aksi terbaik di Piala Tun Ali. FOTO PSNT
SKUAD sepak takraw Terengganu tekad pamer aksi terbaik di Piala Tun Ali. FOTO PSNT
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Skuad sepak takraw Terengganu idam untuk muncul sekurang-kurangnya empat pasukan terbaik dalam saingan Piala Tun Ali musim ini.

Berlangsung di Dewan Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit, Melaka bermula 13 hingga 19 November ini, skuad kendalian bekas perejam kebangsaan, Mohd Futra Abd Ghani dan pembantunya dari Thailand, Vitaya Boonta bakal menggabungkan pemain skuad Sukan Malaysia (Sukma) dan senior.

Pengurus pasukan, Rosmadi Mohamad berkata, skuad The Turtles pada kali ini turut diperkuatkan perejam kelahiran Thailand, Sarayut Suriyan selain tekong berpengalaman kebangsaan, Muhammad Zulkifli Abd Razak.

"Selepas terkandas di peringkat kumpulan pada edisi tahun lalu, kami hadir ke Melaka pada kali ini dengan misi untuk sekurang-kurangnya melangkah ke peringkat separuh akhir.

"Kali ini kami mempertaruhkan sebahagian pemain muda yang berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukma selain menyenaraikan pemain menyertai Liga Sepaktakraw Malaysia dan seorang pemain import.

"Kita meletakkan harapan tinggi agar pemain mampu memberikan saingan yang sengit bermula di peringkat kumpulan lagi," katanya ketika dihubungi.

Selain Muhammad Zulkifli dan Sarayut, skuad The Turtles itu turut diperkuatkan Mohd Muqlis Borhan, Muhammad Amar Roslan, Wan Muhammad Hafizuddin Wan Zakaria, Muhamad Haikal Abd Ghani, Ahmad Danish Irfan Azman, Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi dan Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 3:03 PM