SIVASANGARI (kiri) ketika menentang Nouran pada pusingan kedua Terbuka British. FOTO Twitter Allam British Open
SIVASANGARI (kiri) ketika menentang Nouran pada pusingan kedua Terbuka British. FOTO Twitter Allam British Open
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Cabaran Malaysia pada kejohanan skuasy Terbuka British di Hull, England berakhir awal pagi tadi apabila empat pemain, tiga daripadanya wanita gagal melepasi pusingan kedua.

Pemain wanita nombor satu negara S Sivasangari berjaya mencuri satu set daripada pilihan utama Nouran Gohar dari Mesir namun dia tidak berdaya mengatasi keunggulan juara 2019 itu yang menang 11-3, 7-11, 11-5, 11-7 dalam masa 35 minit.

Sekalipun tewas, Sivasangari mendapat pujian Nouran, yang akan mengambil alih kedudukan nombor satu dunia daripada rakan senegaranya Nour El Sherbini pada 1 April ini.

"Siva bermain dengan amat bagus dan menyukarkan saya sejak awal. Ia tidak mudah, sudah tentu tetapi saya hanya perlu berusaha dan mencari jalan untuk melakar kemenangan akhirnya. Secara fizikal, saya berasa amat bagus," kata Nouran, yang menjadi pilihan utama selepas Nour menarik diri.

Aifa Azman, juara Terbuka Malaysia tahun lalu, tidak mampu mengatasi Sabrina Sobhy dari Amerika Syarikat yang menang 11-6, 11-8, 11-6 dalam pertembungan antara dua pemain sedang meningkat.

Begitu juga Rachel Arnold yang tunduk 2-11, 4-11, 2-11 di tangan pilihan 9/16, Nele Gilis dari Belgium dalam masa 23 minit.

Pada pusingan pertama kelmarin, Aifa menundukkan Ho Tze Lok dari Hong Kong, Sivasangari menyingkirkan Enora Villard dari Perancis manakala Rachel mengetepikan Donna Lobban dari Australia.

Dalam acara lelaki, juara individu Asia, Ng Eain Yow yang juga pilihan 9/16, terkandas di tangan pilihan kelima Tarek Momen dari Mesir 7-11, 8-11, 9-11 dalam masa 37 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 6:49 PM