DEK WAN dilihat menangis selepas penyertaannya dibatalkan kerana false start. -FOTO Majlis Paralimpik Malaysia
DEK WAN dilihat menangis selepas penyertaannya dibatalkan kerana false start. -FOTO Majlis Paralimpik Malaysia
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hasrat pelari pecut para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk mempertahankan pingat emas Sukan Para Asia Hangzhou dalam acara 100 meter (m) T36 berakhir dengan kekecewaan.

Ia selepas Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Dik Wan melakukan 'false start' pada aksi final hari ini sekali gus penyertaannya dibatalkan dan dia nyata tidak dapat menahan perasaan kecewa itu apabila dilihat menangis.

Menurut jurulatih pecut para negara, Hamberi Mahat, beliau sudah melakukan sehabis baik untuk membantu anak didiknya itu mengelak daripada melakukan kesilapan di blok permulaan.

Namun katanya, keinginan tinggi untuk menang mungkin antara punca Ridzuan melakukan kesilapan itu sekali gus mengecewakan dirinya sendiri sekali gus gagal mempertahankan emas yang dimenangi di Jakarta, lima tahun lalu.

"Dia memang sangat kecewa. Sebenarnya semalam di separuh akhir, dia ada melakukan kesilapan ketika reaksinya di blok (permulaan). Tapi bila saya sudah tunjuk video itu dan dia nampak kesilapan itu, saya beritahu jangan lakukan kesilapan sama lagi.

"Pagi tadi, ketika sesi pemanas badan untuk final, kami sama-sama lakukan pembetulan untuk reaksi di blok dan semuanya berjalan lancar.

"Sebenarnya Dik Wan sekarang ini sedang berada pada prestasi terbaik. Masa separuh akhir pun dia melakukan catatan peribadi terbaik musim ini.

"Sebagai jurulatih saya pun meletakkan sasaran tertentu tapi di perlumbaan final, mungkin dia terlalu hendak menang sehingga tak dapat kawal emosinya dan menyebabkan melakukan 'false start'," katanya ketika dihubungi.

Jelas Hamberi, pada pandangannya Ridzuan sudah melakukan yang sebaik mungkin namun rezeki tidak memihak kepadanya pada kali ini.

Acara itu dimenang oleh atlet tuan rumah, Deng Peicheng yang melakukan rekod temasya 11.80s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 1:41 PM