KATIE antara pelumba taruhan Britain dalam saingan berbasikal trek. FOTO Agensi
KATIE antara pelumba taruhan Britain dalam saingan berbasikal trek. FOTO Agensi
Reuters

Glasgow: Kejohanan Dunia Berbasikal yang kali pertama menggabungkan beberapa disiplin bakal membuka tirai esok di Glasgow.

Sepanjang 11 hari itu akan menyaksikan saingan bertaraf tinggi merentasi hampir setiap disiplin termasuk lebuh raya, trek, BMX dan basikal bukit dengan kehadiran pelumba elit dunia bagi merebut kira-kira 200 helai jersi pelangi.

Tumpuan esok turut terarah di Velodrom Chris Hoy yang terletak di tengah bandar Glasgow, velodrom yang dinamakan sempena Olimpian Scotland yang paling terkenal.

Ia juga akan menjadi detik yang menyedihkan bagi kegemaran tuan rumah Katie Archibald, pemenang dua pingat emas Olimpik selepas pasangannya, Rab Wardell, juara basikal gunung Scotland, meninggal dunia akibat serangan jantung semasa tidur setahun lalu.

"Rab begitu teruja untuk kejohanan ini dan menjadi impiannya beraksi di laman sendiri. Dia sangat meminati sukan dua roda dan menganggap sangat bermakna ia dianjurkan di Glasgow" kata Katie, yang akan menjadi taruhan utama bagi acara berpasukan wanita dan juga perlumbaan omnium serta madison.

Katie, yang memulakan perjalanan kariernya dalam berbasikal trek di velodrom Glasgow, akan menjadi sebahagian daripada pasukan trek Britain yang ingin mempersiapkan diri menjelang Sukan Olimpik Paris.

Walaupun masih dianggap sebagai kuasa utama, kemampuan Britain dalam acara berbasikal trek agak merudum dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun kejohanan dunia menjadi medan untuk mereka bangkit semula.

Britain hanya menduduki tempat kelima keseluruhan di kejohanan sama tahun lalu di Paris dengan membawa pulang tiga emas dalam acara kejar-mengejar berpasukan dan omnium lelaki serta perlumbaan mata wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 10:39 AM