MOHD Futra (kiri) selepas menyampaikan Program Motivasi Sukan di SK Duyong, hari ini. FOTO MALIK MUHAMAD
MOHD Futra (kiri) selepas menyampaikan Program Motivasi Sukan di SK Duyong, hari ini. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Perkemaskan lagi sistem kejurulatihan bagi melahirkan lebih ramai pemain sepak takraw kebangsaan yang berwibawa dan berkualiti."

Pandangan itu disuarakan bekas perejam tersohor kebangsaan, Mohd Futra Abdul Ghani yang mahukan pihak berwajib memandang serius perkara ini agar negara tidak ketandusan pemain berbakat dan terbaik.

Selain itu, beliau berkata, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) boleh berkolaboratif dengan pihak sekolah dengan menawarkan kursus kejurulatihan bagi melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah, sekali gus memberi impak kepada murid dan pelajar.

"Walau sesukar mana sekali pun, pihak berwajib seperti PSM yang mempunyai jawatankuasa pembangunan perlu bertindak mengenal pasti bakat di seluruh negara melalui pertandingan seperti Sukan Malaysia (Sukma), Piala Emas Khir Johari dan kejohanan berprestij lain.

"Selain itu, sistem kejurulatihan perlu ditambah baik secara lebih bersistematik lagi bagi melahirkan jurulatih memenuhi kriteria untuk membimbing pemain.

"PSM perlu memastikan 'pool' untuk pemain sepak takraw dikenal pasti seperti di Sekolah Sukan Malaysia, Sekolah Sukan Negeri yang mampu melahirkan pemain berbakat.

"Kerjasama daripada pemegang taruh turut membantu dalam melahirkan lebih ramai lagi pemain berbakat seperti Majlis sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri (MSN), Persatuan Sepaktakraw Negeri, ibu bapa dan penggiat sukan sepak takraw di seluruh negara," katanya ketika ditemui selepas Program Motivasi Sukan di Sekolah Kebangsaan Duyong (SKD) dekat sini, hari ini, yang turut dihadiri Guru Besar SKD, Wan Mohd Rizal Affendi Wan Embong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 9:30 PM