AKSI Tentoglou yang membolehkan dia meraih emas lompat jauh. FOTO AFP
AKSI Tentoglou yang membolehkan dia meraih emas lompat jauh. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Atlet Greece, Miltiadis Tentoglou mencipta kemenangan lewat bagi memenangi pingat emas acara lompat jauh di Sukan Olimpik Tokyo, hari ini.

Juara Eropah itu mencatat 8.41 meter (m) pada lompatan keenam dan terakhirnya untuk memintas jaguh Cuba, Juan Miguel Echevarria yang turut mencatat 8.41m tetapi tewas menerusi lompatan kedua terbaik.

Seorang lagi atlet Cuba, Maykel Masso meraih gangsa dengan jarak 8.21m.

Dalam cuaca panas di Stadium Olimpik, Tentoglou yang berusia 23 tahun menggenggam penumbuk ke udara selepas tamat lompatan keenam.

Semua mata di stadium kemudiannya tertumpu kepada pemenang gangsa Kejohanan Dunia, Echevarria tetapi atlet Cuba itu tidak dapat meneruskan lompatan kesan kecederaan dialami membuatkan dia kecewa di atas trek.

Lompatan kedua Echevarria adalah 8.09m, 6 sentimeter kurang daripada pencabar dari Greece yang mencipta 8.15m pada lompatan kelima.

Juara dunia, Tajay Gayle hanya mampu menduduki tempat ke-11 daripada 12 peserta dengan catatan 7.69m selepas dia tercedera ketika peringkat kelayakan.

JuVaughn Harrison yang menyertai acara lompat tinggi semalam berada di tempat kelima dengan jarak 8.15m.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 12:28 PM