PEMAIN Terengganu, Amirrul Izzad Adang (tengah) dikawal dua pemain Kedah. FOTO PBSNT
PEMAIN Terengganu, Amirrul Izzad Adang (tengah) dikawal dua pemain Kedah. FOTO PBSNT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan futsal Terengganu kempunan melakar kemenangan pertama selepas diikat Kedah 1-1 pada aksi sulung Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) di Stadium Negeri, dekat sini, petang ini.

Skuad kendalian Mohd Rozairi Ahmad itu yang menyenaraikan sebahagian besar pemain berpengalaman musim lalu lebih banyak mendominasi perlawanan dengan kerap mengasak ke kubu pelawat.

Bagaimanapun deretan peluang yang dimiliki pemain skuad The Turtles itu gagal diterjemahkan dengan jaringan selepas pelawat lebih kerap 'berkampung' di halaman sendiri dengan hanya sesekali melakukan serangan balas.

Memasuki babak kedua, Terengganu yang tidak dapat menurunkan pemain importnya dari Indonesia, Andika Ricky Santoso yang mengalami kecederaan lutut mengubah strategi dengan banyak melakukan serangan di sebelah kiri dan kanan pintu gol pelawat.

Perubahan itu berhasil apabila tuan rumah berjaya mendahului lawan hasil jaringan cantik pemain berjersi nombor 15, Nur Luqman Yaakob Tan pada minit ke-24 selepas mendapat umpanan daripada Muhamad Izzat Aqiyuddin Ramli.

Tersentak jaringan itu, skuad pelawat kendalian Ahmad Rasidi Hashim menggandakan asakan, namun gagal menembusi jaring Terengganu yang dikawal kapten, Tengku Azraf Fahimi Che Ku Sulong yang beraksi cemerlang.

Bagaimanapun pada minit ke-29, gol penyamaan yang dicari pelawat akhirnya berhasil menerusi rembatan kencang Muhammad Syarifuddin Md Akhir yang gagal ditangkap kemas Tengku Azraf Fahimi dengan keputusan muktamad kekal 1-1.

Sementara itu Mohd Rozairi akui masih belum berpuas hati dengan persembahan anak buahnya susulan beberapa kelemahan terutama aspek penyudah yang tumpul perlu segera diperbaiki.

"Kita menguasai perlawanan, namun pemain gagal menyudahkan peluang dengan jaringan, kelemahan ini perlu diatasi sebelum aksi kedua menentang ATM di Shah Alam minggu depan," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 9:51 PM