Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan beliau sememangnya 'laku keras' di pasaran apabila terus mendapat perhatian untuk diangkat sebagai duta kepada produk terkenal di pasaran.

Walaupun menyepi lebih enam bulan berikutan pembedahan jantung, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu masih memiliki aura apabila dilantik sebagai duta kepada Gardenia Breakthru sekali gus menambah 'koleksi' sebagai ikon syarikat tempatan dan antarabangsa.

Selain dilantik sebagai ikon produk Gardenia Breakthru, Azizul juga dipilih sebagai duta CIMB Group Holdings Berhad, jenama penghawa dingin terkenal Daikin dan beberapa produk lain.

Azizul berkata, pelantikannya sebagai duta bukanlah semata-mata untuk kerjaya, namun mempunyai tanggungjawab lebih berat untuk mendidik masyarakat ke arah menjalani kehidupan lebih baik.

Beliau berkata, setiap lapisan masyarakat di negara ini memerlukan ikon untuk dijadikan sebagai contoh atau ikutan terutama kepada generasi muda sekali gus dapat memastikan mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan mempunyai matlamat hidup lebih jelas.

"Tanggungjawab sebagai duta atau ikon cukup besar kerana bukan hanya untuk kerja atau nama saja, namun kita perlu memberikan sesuatu kepada komuniti.

"Dalam masyarakat penting untuk ada ikon kerana kita mahu masyarakat mengikut sesuatu perkara yang baik. Seperti saya menjadi duta kepada Gardenia Breakthru mendidik mayarakat untuk mengamalkan pemakanan sihat dalam kehidupan mereka.

"Setakat ini, kira-kira lima produk syarikat tempatan dan antarabangsa melantik saya sebagai duta mereka sekali gus berat tanggungjawab berkenaan kepada masyarakat," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Gardenia Breakthru, di sini, hari ini.

AZLAN (tengah) mahu atasi cabaran Reiterberger.
AZLAN (tengah) mahu atasi cabaran Reiterberger.

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd melancarkan roti gandum penuh dan roti mil penuh dengan gandum ungu Kanada dalam penjenamaan semula di bawah Gardenia Breakthru manakala Azizul pula dilantik sebagai duta produk berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries, Ena Suhaila Abas berkata, menjelaskan pelantikan The Pocket Rocketman adalah kerana kriteria yang dimiliki pelumba berkenaan apabila mempunyai semangat juang tinggi dan sentiasa menunjukkan nilai-nilai murni kepada masyarakat.

Beliau berkata, Azizul adalah duta pertama yang dilantik oleh syarikat terbabit dengan tujuan mendidik masyarakat supaya mencontohi ikon mereka dalam mengamalkan pemakanan sihat.

"Azizul menunjukkan amalan kehidupan yang cukup baik dan tidak pernah berputus asa selain semangat juga tinggi terutama apabila beliau berdepan musibah.

"Oleh itu, kriteria yang dimiliki Azizul menjadikan beliau calon tepat untuk mencerminkan nilai-nilai Gardenia Breakthru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 5:35 PM