RIDWAN meraih pingat emas keirin walaupun pada awalnya kemenangannya dibantah peserta lain. FOTO OWEE AH CHUN
RIDWAN meraih pingat emas keirin walaupun pada awalnya kemenangannya dibantah peserta lain. FOTO OWEE AH CHUN
Affan Rostam


Nilai: Selepas pingat emas pelumba basikal trek Johor, Muhammad Ridwan Sahrom bagi acara keirin lelaki di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini, 'dirompak' buat seketika, akhirnya dia berjaya memilikinya semula.

Terdahulu, pingat emas diraih Ridwan itu terpaksa ditarik susulan bantahan dilakukan terhadapnya dengan alasan dia bergerak ke luar dengan niat memaksa lawan untuk naik ke bahagian atas trek.

Bagaimanapun, kem berbasikal trek Johor menggesa pihak Jawatankuasa Komisar Sukma 2022 membuat semakan semula yang akhirnya menjadikan keputusan berpihak kepada Ridwan.

Ridwan ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Velodrom Nasional Malaysia, di sini, berkata, perasaannya bercampur baur selepas mengetahui pingat emasnya terpaksa ditarik sebaik sahaja bantahan dilakukan kerana dia yakin tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Pada mulanya saya agak sedih dan rasa marah. Akhirnya, pingat emas tetap menjadi milik saya. Penantian selama empat tahun menjadi kenyataan.

"Pada saya, sebagai seorang pelumba profesional, kita akan tahu sama ada sesuatu perkara itu salah atau tidak. Tadi saya berada di laluan yang betul cuma agak dihimpit.

"Saya tak tahu bantahan daripada siapa, tapi akhirnya kemenangan berpihak kepada saya," katanya.

Tambah Ridwan, kemenangan kali ini adalah hadiah bermakna buat keluarga yang banyak menyokongnya selama ini, selain pengiktirafan kepada diri sendiri pada penampilan terakhir di Sukma.

Katanya, dia menganggapnya sebagai 'ibu pingat emas' kerana penantian selama empat tahun dengan latihan dibuat akhirnya terbalas.

Keputusan akhir menyaksikan Ridwan kekal dengan pingat emas manakala pelumba Terengganu, Zulfahmi Aiman Zulkurnain meraih perak dan gangsa menjadi milik Umar Hasbullah dari Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 4:30 PM