ATLET Muay Thai, Mohammad Rifdean Masdor (kiri) dari pasukan Perak beraksi dan menewaskan atlet, Mohd Shahdam Abdul Aziz dari pasukan Pulau Pinang. FOTO AIzuddin Saad
ATLET Muay Thai, Mohammad Rifdean Masdor (kiri) dari pasukan Perak beraksi dan menewaskan atlet, Mohd Shahdam Abdul Aziz dari pasukan Pulau Pinang. FOTO AIzuddin Saad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Keputusan atlet Muay Thai negara, Mohammad Rifdean Masdor untuk menurunkan berat badan ternyata membuahkan hasil apabila dia berjaya menyumbang pingat emas buat kontinjen Perak di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Rifdean tidak berdepan masalah untuk menumbangkan atlet Pulau Pinang, Mohd Shahdam Abdul Aziz dalam aksi akhir kategori 48 kilogram (kg) lelaki di South City Plaza di Seri Kembangan.

Juara dunia itu menang dengan keputusan TKO pada pusingan kedua manakala gangsa dikongsi wakil Kedah, Muhammad Firdaus Che Halim dan Tengku Muhamad Adam Fakruzie Tengku Mohamad dari Terengganu.

Rifdean, 20, menjelaskan, pengambilan makanan yang sesuai dan berjoging sejauh 20 kilometer (km) sehari menjadi antara perkara yang dilakukan untuk mengurangkan berat badan.

"Sebenarnya tiada masalah (menurunkan berat badan) daripada 57 kg kepada 48 kg, kita cuma kena rajin. Pagi petang siang malam kadang-kadang sampai tiga kali sehari saya joging.

"Sebelah pagi buat 10km, petang 5km dan rehat sekejap sebelum sambung lagi 5km. Sebelum tidur pun joging dan semuanya dibuat dalam bulan ini sebelum Sukma.

"Saya gembira dapat mengulangi pencapaian meraih pingat emas seperti yang saya lakukan pada 2018 di Sukma Perak dalam kategori 45kg.

"Kemenangan ini juga sangat penting kerana saya nak jaga nama sebagai atlet kebangsaan, jadi perlulah mempertahankan status itu," katanya.

Rifdean pernah memenangi emas kategori 45kg lelaki Sukan Sea 2019 di Filipina dan emas kategori bawah 23 elit lelaki pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 di Bangkok, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:22 PM