PERTARUNGAN sengit di antara Sharmendran (kanan) ketika menentang atlet Indonesia. FOTO Bernama
PERTARUNGAN sengit di antara Sharmendran (kanan) ketika menentang atlet Indonesia. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Penantian sasaran pingat emas ke-36 amat bermakna bukan saja buat Malaysia namun ia turut menyentuh hati Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad yang juga ketua kontinjen negara ke Sukan Sea Vietnam 2021.

Azmi berkata kemenangan pasukan karate kumite lelaki hari ini menjadi penentu kepada sasaran diletakkan namun kontinjen masih mempunyai misi seterusnya iaitu menambah kilauan emas kepada 42 sebelum temasya dwi tahunan berkenaan melabuhkan tirainya pada 23 Mei ini.

"Terima kasih kepada atlet karate kerana mencapai matlamat 36 emas hari ini," kata Nur Azmi. Ini satu penutup (sasaran) yang saya sendiri sebagai setiausaha agung dan ketua kontinjen, membanttu saya menamatkan bilangan ditetapkan oleh menteri dan juga rakyat Malaysia kepada saya.

"Akhirnya kami dapat emas ke-36 dalam sukan yang saya sendiri ceburi. Ini sesuatu sangat membanggakan walaupun sebelum ini kita dapat pingat ke-35 daripada menembak dan itu yang saya perlukan untuk hari ini.

"Terima kasih kepada atlet dalam kontinjen Malaysia yang lain kerana turut membantu menaikkan jumlah pingat emas kepada negara. Semalam kita dapat lebih kurang tujuh emas dan hari ini kita adalah hari penutup dalam memastikan kontinjen mencapai 36 emas.

"Selepas ini kita akan teruskan beusaha. Masih ada lagi sukan lain dan saya pasti sekiranya semuanya berjalan lancar, kita akan menambah lagi empat emas sebelum cuba mencapai sasaran peribadi saya sendiri, 42 emas," katanya.

Pasukan karate kumite dibarisi R Sharmendran, S Prem Kumar, H Sureeya Sankar, S Geerijaieswaran, Arif Afifuddin Ab Malik, V Kueggan dan G Katish meraih emas selepas menewaskan Indonesia 3-0.

Pasukan itu mara ke final selepas menewaskan tuan rumah Vietnam 3-0 pada separuh akhir dan Laos 2-0 pada suku akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara kumite berpasukan lelaki pada Sukan Sea edisi 1993 di Singapura dengan ketua jurulatih pasukan kumite, P Arivalagan mengetuai pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 8:39 PM