DHABITAH hadiahkan emas pertama negara di temasya Sukan Sea Hanoi. -FOTO Bernama
DHABITAH hadiahkan emas pertama negara di temasya Sukan Sea Hanoi. -FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pingat emas pertama yang diraih atlet terjun wanita elit negara Nur Dhabitah Sabri di Sukan Sea Manila di Vietnam bukanlah untuk dirinya semata-mata namun lebih sebagai peniup semangat kepada wakil Malaysia lain untuk berusaha membawa pulang lebih banyak kejayaan kelak.

Dhabitah berkata, walaupun dilihat dia mampu meraih kemenangan mudah semalam namun hakikatnya tetap rasa 'gugup' berikutan sudah lama tidak menyertai kejohanan kompetitif berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, pada acara 1 meter (m) papan anjal individu wanita semalam dia tetap fokus mahu memberikan terbaik dan tetap menganggap peserta lain mampu memberikan saingan sengit sekali gus boleh menggugatnya memenangi emas.

"Perasaan gugup itu tetap ada kerana melihat peserta lain tetap mampu memberikan saingan namun Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya.

"Harap kejayaan ini mampu memberi semangat kepada atlet Malaysia lain untuk bekerja keras dapatkan emas untuk negara.

"Saya tahu bukan mudah namun ia diharapkan mampu meniup semangat mereka untuk terus berjuang," katanya.

Kontinjen negara bermula dengan langkah kanan di Sukan Sea Hanoi apabila 'menyapu' kedudukan satu dan dua dalam acara 1 m papan anjal individu wanita semalam.

Dhabitah menjadi penyumbang pertama pingat emas buat negara dengan pungutan mata keseluruhan 290.45 mata jauh meninggalkan peserta lain.

Lebih manis lagi kejayaan Dhabitah itu turut diiringi rakan senegara Kimberly Bong Qian Ping yang berjaya memperoleh pingat perak untk acara berkenaan selepas memperoleh 230.0 mata.

Selain itu, Dhabitah bakal turun sekali lagi dalam acara 10 m platform seirama wanita bersama Datuk Pandelela Rinong sekali gus berpeluang mengutip emas buat negara kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 2:05 PM