EMMA dibantu Bates ketika sesi latihan di Indian Wells, California.
EMMA dibantu Bates ketika sesi latihan di Indian Wells, California.
AFP

Indian Wells, Amerika Syarikat: Sensasi remaja Britain, Emma Raducanu enggan tergesa-gesa mendapatkan jurulatih baharu menjelang kejohanan pertamanya sejak menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pemain berusia 18 tahun itu yang mengejutkan dunia tenis apabila muncul pemain pertama kelayakan menjuarai Grand Slam berpisah dengan jurulatih, Andrew Richardson selepas kejayaan di New York.

Emma akan dibantu bekas pemain profesional Jeremy Bates di kejohanan ATP/WTA Indian Wells, California minggu ini tetapi dia masih mencari jurulatih tetap.

Bates, bekas pemain nombor satu Britain kini ketua tenis wanita di Persatuan Lawn Tennis (LTA).

"Jeremy bertugas di LTA dan kehadirannya di sini boleh membantu saya," kata Emma.

"Tetapi untuk akan datang saya akan berusaha mencari jurulatih yang sesuai. Saya tidak akan terburu-buru bagi memastikan keputusan saya adalah tepat."

Emma yakin buat masa sekarang, dia mampu mengekalkan momentum ketika perlawanan.

"Saya yakin. Saya tahu walaupun masih muda tetapi saya telah meraih sedikit pengalaman menentang pemain lebih ternama. Pada akhirnya anda akan menjadi jurulatih kepada diri sendiri di atas gelanggang.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 12:25 PM