WAI Ching (kiri) bertemu Mo Farah di Dubai semalam. Foto Ihsan Instagram mastowerrunner
WAI Ching (kiri) bertemu Mo Farah di Dubai semalam. Foto Ihsan Instagram mastowerrunner
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelari menara negara Soh Wai Ching sudah lama mengimpikan untuk bertemu dan berbual dengan idolanya Sir Mo Farah, jaguh lari jarak jauh Britain yang meraih empat pingat emas Sukan Olimpik dan enam emas Kejohanan Dunia dalam acara 5,000 dan 10,000 meter.

Impiannya itu terlaksana apabila dia dipertemukan dengan Farah oleh isteri pelari itu Tania Farah di Dubai semalam.

"Saya selalu mengimpikan suatu hari nanti untuk bertemu dan berbual dengan idola saya, Sir Mo Farah dan terima kasih kepada Tania Farah, isterinya kerana mengatur pertemuan ini. Seronoknya dapat bertemu dengan anda berdua di Dubai," tulisnya dalam perkongsian terbaharu di laman Instagram.

"Kami berbual panjang lebar. Mo Farah berkongsi dengan saya mengenai cabaran untuk mengekalkan rentak kemenangan dalam jangka masa panjang. Betapa taktikalnya larian 5,000m dan 10,000m, cara dia meningkatkan kepantasan dan bekerja keras untuk mengatasi lawannya di trek.

"Pada masa sama, saya juga berkongsi dengan mereka mengenai sukan larian menara. Mengajaknya menyertai acara larian menara, mungkin perlumbaan di Malaysia atau di London suatu hari nanti. Dia berkata dia pernah berlari menaiki enam tingkat sebelum ini dan ternyata ia sukar buatnya.

"Tania pula berkongsi dengan kami dia pernah berpangkalan di Malaysia selama tiga tahun ketika usia mudanya. Dia belajar bahasa Melayu, menonton kartun Malaysia dan turut menikmati makanan Malaysia. Dia pernah ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor apabila dia berkunjung dari Singapura.

"Ia satu impian menjadi kenyataan buat saya, saya terlalu teruja untuk bertemu Mo, asyik melihat ke kiri dan kanan di lobi hotel ketika menunggu mereka dan kemudian mereka datang dari pintu depan dan menyapa 'hai' kepada saya.

"Dia mencetus inspirasi buat saya untuk bekerja keras meraih semua sasaran yang saya tetapkan dalam karier olahraga saya. Saya mula berlari pada 2011-2012. Saya menyertai acara 5,000m dan 10,000m banyak kali sejak itu.

"Ketika saya di Universiti Malaya dalam usaha meraih ijazah sains sukan, saya terbabit dalam 5,000m dan 10,000m. Mewakili UM bagi kedua-dua acara dan berjaya meraih emas berganda akhirnya pada 2018 pada kejohanan olahraga Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum).

"Saya juga layak bertanding pada Sukan Universiti Asean dua kali pada 2016 dan 2018 bagi kedua-dua acara 5,000m dan 10,000m selepas muncul dua terbaik pada temasya Sukan Institut Pengajian Tinggi (Sukipt)," katanya.

Wai Ching, yang menjuarai perlumbaan berprestij Empire State Building Run-Up (ESBRU) di New York, Amerika Syarikat tahun lalu, kini bersiap sedia untuk cuba mengungguli kejohanan menaiki anak tangga AS: Scale the Strat di Las Vegas pada 27 Februari ini dengan impian untuk memecahkan rekod lapangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 9:39 PM