IZZATI mempamerkan pingat emas dan gangsa yang diraih di Bangkok. FOTO Bernama
IZZATI mempamerkan pingat emas dan gangsa yang diraih di Bangkok. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ratu pecut Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Bangkok, Thailand Nur Izzati Eliana Suhaidi bertekad untuk menjadi sepantas idolanya, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Izzati berharap satu hari nanti dia mampu untuk mengulangi pencapaian idolanya itu dengan meraih pingat di temasya Sukan Sea.

Bagaimanapun perjalanannya masih jauh dan kini fokus pelari kelahiran Perak berusia 16 itu adalah untuk mendapatkan pingat pada penampilan pertamanya di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun depan.

Izzati dilihat mampu untuk menjadi pelapis kepada pelari wanita negara selepas berjaya mengungguli Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dengan catatan 12.28 saat (s) diikuti emas di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Bangkok, Thailand minggu lalu selepas merekodkan 12.39s .

"Saya bersyukur dengan kejayaan yang diraih tahun ini. Saya mahu berlari lebih pantas lagi tahun depan.

"Sasaran utama saya selepas ini adalah Sukma dan jika boleh saya mahu lakukan masa 12s nanti pada penampilan pertama saya di temasya itu," katanya.

Terdahulu di Bangkok, Izzati mencipta sensasi meraih emas dalam acara 100m dengan catatan catatan 12.39s apabila mengatasi pelari Vietnam, Ngo Thi My Duyen yang meraih perak, 12.42s manakala gangsa menjadi milik atlet Thailand, Jongjit Wilasinee 12.54s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:36 PM