BARISAN skuad remaja KL yang menjalani latihan di Velodrom KL, hari ini. FOTO Aida Adilah Mat
BARISAN skuad remaja KL yang menjalani latihan di Velodrom KL, hari ini. FOTO Aida Adilah Mat
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas empat tahun terbiar tanpa sebarang aktiviti berbasikal, Velodrom Kuala Lumpur (KL) kini dibuka buat sementara waktu khas untuk pelumba KL.

Namun ia hanya dibuka bagi tujuan latihan semata-mata sehingga temasya Sukan Malaysia (Sukma) KL dianjurkan tahun depan.

Presiden Persatuan Berbasikal KL (PBKL) Ahmad Arif Astaman berkata, buat kali pertama sejak 2017, pelumba dibenarkan menggunakan semula Velodrom KL yang terletak di Cheras itu atas budi bicara dan kerjasama daripada pemilik tanah, Dupion Development Sdn Bhd selaku pemaju yang membeli tanah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, biarpun hanya untuk tempoh sementara, sudah cukup buat pelumba muda khasnya dari KL menjalani latihan kerana ada di antara mereka baru kali pertama berkayuh di atas velodrom.

"Idea ini tercetus daripada Datuk Ng Joo Ngan yang melihat mengapa tidak velodorm yang belum lagi dirobohkan itu digunakan semula sebagai pusat latihan.

"Jadi saya cuba berbincang dengan mereka yang memiliki tanah ini dan Alhamdulillah, ia membuahkan hasil. Mereka berbesar hati untuk membenarkan ia digunakan semula buat sementara waktu," katanya.

Arif berkata, kebenaran menggunakan velodrom itu memberi perkhabaran positif apabila barisan pelumba muda ini tidak lagi perlu berkongsi trek dengan pelumba lain selain ia menjimat kos ribuan ringgit sehari kerana tidak lagi perlu ke Velodrom Nasional di Nilai selain menjimatkan masa.

Berhubung isu keselamatan, Arif memaklumkan trek di velodrom itu masih selamat digunakan biarpun tidak diselenggarakan selama empat tahun dengan cucian minimum.

"Sebelum digunakan pihak pemaju meminta kami untuk membuat seliaan dan ia disahkan selamat oleh Joo Ngan dan ia permukaan yang mencukupi untuk latihan.

"Ini membuktikan betapa berkualitinya pembinaan trek ini yang turut digunakan ketika Komanwel 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:26 PM