Azlia ketika dirawat di Pusat Perubatan Fuji Speedway.
Azlia ketika dirawat di Pusat Perubatan Fuji Speedway.
BERNAMA

Tokyo: Pelumba berbasikal lebuh raya kebangsaan, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais terpaksa dikejarkan ke pusat perubatan selepas mengalami masalah pernafasan ketika bersaing dalam acara ujian masa wanita B (kecacatan penglihatan) di Sukan Paralimpik di sini, hari ini.

Jurulatih kebangsaan, Sallehuddin Mohd Noh, berkata situasi itu menyebabkan Nur Azlia bersama jurumudinya, Nurul Suhada Zainal tidak dapat menamatkan aksi final yang berlangsung di Fuji International Speedway, kira-kira 109 kilometer (km) dari sini.

"Mereka tidak dapat menamatkan perlumbaan ketika hanya berbaki tiga km ke garisan penamat selepas Nur Azlia mengalami masalah pernafasan semasa sedang mendaki bukit terakhir.

"Dr Jasmiza Khusairi dari Institut Sukan Negara dan pasukannya memaklumkan bahawa Nur Azlia mengalami keletihan, kelesuan dan sedikit masalah pernafasan yang memerlukan pemeriksaan lebih lanjut apabila pulang di Malaysia nanti," katanya.

Sehubungan itu, Sallehuddin berkata besar kemungkinan mereka berdua terlepas peluang untuk bertanding dalam aksi akhir mereka di sini, iaitu acara perlumbaan lebuh raya wanita B Jumaat ini, susulan keadaan Nur Azlia yang kurang cergas.

Pelumba Ireland Katie-George Dunlevy-Eve McCrystal muncul juara dengan merekodkan masa 47:32.07s, diikuti dengan perak oleh gandingan Great Britain Lora Fachie-Corrine Hall melakukan catatan 48:32.06s dan gandingan Sweden, Louise Jannering-Anna Svaerdstroem pula gangsa dengan 49:36.06s.

Dalam pada itu, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menampilkan kayuhan memberangsangkan dalam acara ujian masa lelaki C1 (kecacatan fizikal) selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa 26 minit 46.5 saat (s) daripada 11 pelumba pada aksi final.

Mikhail Astashov dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia merangkul emas selepas mencatat masa 24:53.37s diikuti Aaron Keith dari Amerika Syarikat dengan catatan 24:55.40s manakala atlet Jerman, Michael Teuber terpaksa berpuas hati dengan gangsa apabila merekodkan masa 24:58.67s.

Peluang masih terbuka buat Yusof Hafizi apabila beliau akan turun sekali lagi untuk mencabar kedudukan pingat dalam acara perlumbaan lebuh raya pula Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 9:46 PM