AKSI Jun Hoong di Olimpik Tokyo. FOTO Majlis Sukan Negara
AKSI Jun Hoong di Olimpik Tokyo. FOTO Majlis Sukan Negara
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Prestasi kurang menjadi yang dipamerkan penerjun negara, Cheong Jun Hoong nyata mengecewakan jurulatihnya Yang Zhuliang.

Beliau yang melihat Jun Hoong mampu membawa pulang pingat buat negara namun sebaliknya berlaku apabila persembahan atlet berkenaan pada sesi kelayakan acara 10 meter (m) platform wanita individu tempoh hari serba tidak menjadi.

Katanya, pada sesi latihan sebelum ini Jun Hoong sudah tampak lebih bersedia dan selesa sekali gus mampu memberikan terbaik untuk negara.

"Agak mengecewakan prestasi yang dipamerkan Jun Hoong kerana dia sebenarnya boleh melakukan lebih baik lagi,"katanya.

Mengikut rekod, atlet berusia 31 tahun itu hanya dimaklumkan layak ke Tokyo pada Jun lalu, sebulan sebelum temasya selepas dia dikatakan tidak layak beraksi namun akhir Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina) bersetuju menukar syarat kelayakan kepada 18 penerjun berbanding 15 penerjun.

Namun, Jun Hoong gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila menduduki tangga ke-26 daripada 30 peserta bertanding sekali gus gagal melayakkan diri dalam kelompok 18 terbaik untuk aksi separuh akhir.

Jun Hoong yang memegang reputasi sebagai bekas juara dunia gagal menepati ramalan layak ke pusingan seterusnya apabila memungut 251.80 mata sekali gus berada di kedudukan ke-26.

Sementara itu, Zhuliang berkata, dia mungkin akan pulang ke rumahnya di Australia selepas kontrak sebagai jurulatih penerjun itu tidak dilanjutkan lagi.

"Saya akan pulang ke Australia untuk bersama dengan keluarga dan mengenai kontrak ketika ini kita lihat situasi semasa dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 4:10 PM